Joe Biden semasa Debat Presiden pertama di studio Atlanta CNN, pada 27 Jun.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menarik diri daripada Pilihan Raya Presiden, sekali gus menamakan Timbalannya, Kamala Harris sebagai calon Parti Demokrat.
Menurut Utusan Malaysia, Biden, 81, bagaimanapun akan terus mengetuai pentadbiran sehingga Januari ini.
Beliau dalam satu kenyataan di aplikasi X semalam memberitahu, keputusan itu dibuat demi kepentingan parti dan negara.
Menurut CNN, rancangan Biden untuk menarik diri diputuskan pada malam Sabtu dan dimuktamadkan semalam.
Harris, 59, dalam reaksinya berhubung perkara tersebut berkata, beliau berbesar hati atas pencalonannya dan akan melakukan yang terbaik bagi menewaskan calon Parti Republikan, Donald Trump.
“Kita masih ada baki 107 hari sebelum pilihan raya. Kita akan berjuang dan menang bersama,” ujarnya seperti laporan BBC.
Walaupun pencalonan Harris disokong pemimpin-pemimpin berpengaruh Demokrat, beliau masih belum dinamakan sebagai calon rasmi parti tersebut sehingga Konvensyen Demokrat Kebangsaan yang akan berlangsung bulan depan.
Biden sebelum ini berdepan kritikan berikutan prestasi hambarnya semasa perdebatan dengan Trump pada 27 Jun lalu.


































