Ghazali dan Shahril menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
KOTA KINABALU: Budaya kepenggunaan yang bijak, beretika dan bertanggungjawab perlu terus diperkasakan bagi membantu rakyat mengurus kos sara hidup serta mewujudkan ekosistem perdagangan yang adil, telus dan berintegriti.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji berkata, pengguna hari ini perlu lebih peka terhadap hak dan tanggungjawab mereka dengan mengamalkan sikap membandingkan harga, membuat pilihan yang tepat serta mengelakkan pembaziran.
Katanya, usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, peniaga dan pengguna, bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Program seperti Fiesta Kepenggunaan merupakan platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak dan tanggungjawab sebagai pengguna, di samping memperkenalkan pelbagai inisiatif kerajaan secara lebih dekat kepada rakyat.
“Ia juga membuka ruang interaksi secara langsung antara masyarakat dan agensi kerajaan, sekali gus memperkukuhkan usaha advokasi kepenggunaan yang dilaksanakan oleh KPDN,” katanya ketika mewakili Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali pada Majlis Penutupan Fiesta Kepenggunaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah 2026 di One Borneo Shopping Mall, di sini, kelmarin.
Turut hadir Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin.
Sepanjang program itu, orang ramai disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan Eksplorasi Celik Pengguna (X-CAPE), pertandingan mewarna kanak-kanak serta Battle of the Bands (BOTB) yang disertai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Turut diadakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan serta penyerahan sumbangan Ihsan Food Bank (i-FB) kepada UiTM Cawangan Sabah, IPG Kampus Gaya dan Politeknik Kota Kinabalu.
Selain itu, sesi lawatan ke reruai pameran yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik turut diadakan.
Program diteruskan dengan Kuiz Kahoot Fiesta, persembahan busking oleh Busska Busker serta penyampaian cenderamata kepada peserta.
Ghazali berkata, pendekatan santai dan interaktif mampu menyampaikan mesej kepenggunaan dengan lebih berkesan kepada semua lapisan masyarakat, selain mengeratkan hubungan antara Kerajaan dan rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KPDN Sabah, agensi kerajaan, rakan strategik, pempamer serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Fiesta Kepenggunaan KPDN Sabah 2026.
Katanya, segala ilmu dan maklumat yang diperoleh sepanjang program itu diharap dapat dimanfaatkan dan dikongsi bersama keluarga serta masyarakat bagi membudayakan amalan kepenggunaan yang lebih bijak dan berhemah.
































