Masiung bersalaman dengam orang ramai setibanya di majlis itu.
BELURAN: Pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak berpotensi menimbulkan isu serius sekiranya dasar itu tidak diperincikan semula mengikut keperluan sebenar rakyat di kedua-dua negeri, kata Pengerusi Backbenchers Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masiung Banah.
Beliau berkata, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana pelaksanaan polisi baharu ini boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat di wilayah Borneo terhadap dasar Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, kuota BUDI Diesel sebanyak 200 liter yang diberikan ketika ini tidak sesuai dengan keadaan geografi Sabah dan Sarawak yang mempunyai keluasan muka bumi serta jarak perjalanan yang jauh, khususnya di kawasan pedalaman.
“Kerajaan Persekutuan perlu mempertimbangkan untuk menaikkan kuota kepada antara 300 hingga 500 liter bagi setiap kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak.
“Bentuk muka bumi yang luas di kedua-dua negeri ini tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri yang lebih kecil di Semenanjung Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni penduduk Tongod pada Majlis Kesyukuran Pengundi Luar Kemenangan GRS DUN Kuamut di Dewan Kampung Tonoting Ulu Sapi Nangoh, kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu turut menegaskan bahawa suara rakyat Sabah dan Sarawak tidak boleh dipandang sebelah mata memandangkan kedua-dua negeri merupakan antara pengeluar utama minyak dan gas negara.
Beliau berkata, kesukaran rakyat menikmati subsidi diesel bersasar akibat syarat kelayakan yang terlalu ketat juga perlu diperhalusi oleh Kerajaan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya syarat penjualan diesel dilonggarkan dan diselaraskan semula dengan mekanisme subsidi petrol.
“Subsidi bersasar BUDI Diesel lebih banyak memberi tekanan kepada pengguna kenderaan individu, terutama di kawasan pedalaman.
“Kita menghormati usaha Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan ketirisan subsidi diesel, namun jarak rangkaian jalan raya di Sabah dan Sarawak jauh berbeza berbanding di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Masiung berkata, kuota 200 liter yang diperuntukkan kepada pengguna BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak adalah kurang praktikal memandangkan jarak perjalanan yang jauh antara kawasan perkampungan dan bandar utama.
Beliau memberi contoh penduduk di kawasan Kuamut yang perlu mengambil masa antara lima hingga enam jam untuk berurusan di Kota Kinabalu, dengan penggunaan bahan api mencecah kira-kira 100 liter bagi perjalanan sehala.
“Jika perjalanan pergi dan balik, penggunaan diesel boleh mencapai 200 liter dalam sehari.
“Harus diingat bahawa kawasan Kuamut di daerah Tongod lebih besar daripada negeri Kedah dan hampir menyamai keluasan negeri Johor,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu kelayakan permohonan subsidi yang menjejaskan ramai pengguna luar bandar, khususnya golongan petani yang menggunakan kenderaan yang tidak didaftarkan atas nama sendiri.
Menurutnya, ramai pemilik kenderaan di kawasan pedalaman membeli kenderaan melalui pinjaman syarikat atau kaedah sambung bayar, sekali gus menyebabkan mereka tidak layak memohon subsidi BUDI Diesel.
Selain itu, katanya, sebahagian besar kawasan pedalaman yang masih tidak mempunyai kemudahan jalan raya dan bekalan elektrik bergantung kepada bot sebagai pengangkutan serta generator diesel sebagai sumber tenaga.
“Golongan ini juga tidak dapat menikmati subsidi BUDI Diesel dan terpaksa membeli diesel pada harga RM3.97 seliter,” katanya.
































