Masiung (kanan) bersama Walter (tengah) dan Samad sebelum majlis bermula.
SANDAKAN: Terdapat keperluan untuk Kerajaan mengetatkan penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan sumber awam membabitkan agihan subsidi bahan api di Sabah.
Pengerusi Kelab Backbenchers Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masiung Banah berkata, isu tatakelola dan salah laku berisiko tinggi boleh berlaku dalam pengurusan krisis bekalan global melibatkan bantuan serta subsidi petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).
“Jika penguatkuasaan tidak dilaksanakan secara tuntas, subsidi rakyat melibatkan bahan api berisiko tinggi diseludup ke negara jiran,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi SEDCO berkata demikian ketika ditemui media semasa menghadiri taklimat khas Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone) sempena lawatan kerja Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor di sini, kelmarin.
Masiung berkata, dua kes penyelewengan diesel di Tawau pada Ahad lalu dan awal April membabitkan lebih 40,000 liter diesel bersubsidi bernilai lebih RM1.17 juta harus dijadikan amaran jelas kepada kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Pasukan Polis Marin (PPM), Kementerian Dalam Negeri dan agensi maritim lain menambah bilangan anggota penguatkuasaan serta memperkukuh aset termasuk bot peronda dan dron, khususnya di laluan tikus di kawasan sempadan negara.
Katanya, pegawai penguat kuasa yang bertugas di pintu masuk juga perlu dipantau bagi memastikan tiada penyalahgunaan kuasa atau ketidakpatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP).
Sementara itu, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenal pasti tiga bentuk risiko utama yang menyumbang kepada ketirisan sepanjang tempoh krisis bekalan global susulan konflik geopolitik di Asia Barat.
Menurut EAIC, antara risiko paling kritikal ialah penyeludupan bahan api dan minyak masak bersubsidi di kawasan sempadan, termasuk kewujudan rangkaian dalaman yang melibatkan segelintir petugas di pintu masuk.
Selain itu, faktor geografi seperti kawasan laut yang luas serta hutan paya bakau tebal yang mempunyai banyak laluan tikus turut menyukarkan aktiviti penguatkuasaan.
Masiung berkata, perbezaan harga bahan api dan minyak masak bersubsidi yang jauh lebih murah berbanding negara jiran menjadi tarikan utama kepada penyeludup untuk mengaut keuntungan.
Katanya, permintaan tinggi terhadap bahan tersebut di Indonesia dan Filipina turut menyumbang kepada peningkatan penyeludupan barangan terkawal dari Sabah dan Sarawak.
Taklimat itu disampaikan oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson, dan turut dihadiri Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafri Ariffin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untung, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jamri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
































