PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberikan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penahanan pegawai kanan ATM pagi kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, pihaknya tidak akan melindungi atau berkompromi sama sekali dengan mana-mana warganya yang terbabit dalam sebarang masalah termasuk sindiket penyeludupan.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang terlibat sekiranya mereka terbukti bersalah.
“Siasatan akan dijalankan dengan terperinci dan pihak ATM tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana warga ATM yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Sebelum ini satu sindiket penyeludupan di selatan tanah air yang disyaki didalangi pegawai kanan ATM berjaya dilumpuhkan SPRM.
Dalam operasi dikenali sebagai Ops Sohor yang dijalankan Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) itu, lima pegawai kanan tentera ditahan di sekitar Lembah Klang dalam operasi dilancarkan pukul 6.30 pagi kelmarin.
Turut ditahan lima orang awam, termasuk seorang warga Indonesia dengan semua mereka berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun.
Dalam pada itu, Mohd. Nizam berharap masyarakat memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini secara menyeluruh dan tidak membuat
sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Katanya, segala perkembangan berkaitan hasil siasatan dan tindakan selanjutnya akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.


































