Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang wanita menyerang orang awam menggunakan sebilah pisau.
PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita bukan selepas memandu kereta secara cuai sehingga melanggar tiga buah motosikal di Bandar Kajang, dekat sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 11.58 malam itu, wanita berusia 24 tahun itu turut menyerang orang awam dengan pisau.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku di sebuah pusat beli-belah di kawasan persimpangan lampu isyarat.
Katanya, wanita berkenaan telah melanggar tiga motosikal sebelum suspek keluar dari kenderaan dan menyerang orang awam berdekatan dengan sebilah pisau.
“Kejadian itu menyebabkan enam mangsa tempatan berusia antara 21 hingga 60 tahun cedera manakala tiga motosikal turut rosak akibat pelanggaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.
Naazron berkata, hasil bantuan orang awam, suspek berjaya ditahan bersama dua bilah pisau sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Wanita itu kini ditahan dan akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh sehingga menyebabkan kemudaratan kepada orang lain.
Selain itu, ujarnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes diminta menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-691 9817 bagi membantu siasatan,”katanya.


































