KUALA LUMPUR (Bernama): Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memuktamadkan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang bagi memperkukuh akauntabiliti platform dan melindungi pengguna daripada manipulasi algoritma dan amalan diskriminasi harga.
KPDN memaklumkan penggubalan undang-undang baharu itu memberikan penekanan kepada prinsip ketelusan, akauntabiliti dan keadilan termasuk memastikan maklumat harga yang material kepada keputusan pembelian pengguna dizahirkan dengan jelas.
Menurut kementerian itu, perkembangan ekonomi digital kini memerlukan kawal selia yang lebih menyeluruh memandangkan platform mempunyai peranan besar dalam menentukan paparan produk, syor, kedudukan (ranking) serta penyampaian harga dan promosi kepada pengguna.
“Secara prinsipnya, penggunaan algoritma dan harga dinamik (dynamic pricing) bukanlah suatu kesalahan. Sebaliknya, teknologi ini boleh meningkatkan kecekapan pasaran dan membolehkan penawaran disesuaikan dengan keadaan permintaan dan penawaran.
“Namun demikian, isu perlindungan pengguna akan berbangkit sekiranya pengguna tidak diberikan maklumat harga yang jelas atau apabila penggunaan algoritma membawa kepada amalan mengelirukan, manipulatif atau menyebabkan diskriminasi harga yang tidak wajar,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Dr V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) mengenai langkah memperkukuh perlindungan pengguna terhadap penggunaan algoritma dalam platform e-dagang termasuk ketelusan penentuan harga dan pencegahan diskriminasi harga.
KPDN memaklumkan buat masa ini, isu berkaitan urus niaga dalam talian dikawal selia menerusi Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599], termasuk Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2024 bagi menangani amalan perdagangan mengelirukan dan representasi palsu.
Selain itu, sekiranya penggunaan algoritma melibatkan amalan antipersaingan, ia tertakluk di bawah Akta Persaingan 2010 [Akta 712] yang dikuatkuasakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Menurut KPDN, bagi algoritma yang menggunakan data peribadi dan pemprofilan pengguna sebagai asas kepada sesuatu keputusan atau penawaran, aspek pemprosesan dan perlindungan data peribadi tertakluk kepada kerangka perlindungan data peribadi di bawah bidang kuasa kementerian yang berkaitan.
“KPDN akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan supaya kerangka kawal selia ekonomi digital negara kekal responsif terhadap perkembangan teknologi, dan pada masa yang sama memastikan kepentingan pengguna terus dilindungi,” menurut jawapan itu. — BERNAMA




























