KOTA KINABALU (Bernama): Di kawasan menara penghantaran yang tumbang di Ranau hingga ke pusat kawalan dan tapak pemulihan di lapangan, petugas Sabah Electricity serta pihak bertanggungjawab bertungkus lumus memulihkan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah selepas gangguan besar melanda kawasan itu.
Sabah Electricity menetapkan tempoh enam hari untuk memulihkan semula talian penghantaran elektrik 275 kilovolt (kV) ke kawasan berkenaan dengan sasaran pemulihan penuh grid pada 2 Dis selepas menara penghantaran T313 di Ranau tumbang pagi kelmarin.
Insiden menara T313 tumbang yang dikesan pada jam 6.04 pagi itu memutuskan dua litar talian penghantaran dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah, sekali gus mengganggu bekalan elektrik di lapan daerah dan menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar.
“Kita menyasarkan tempoh enam hari untuk menyambung semula grid yang terjejas, mungkin boleh disiapkan lebih awal lagi,” kata Pengerusi Sabah Electricity Datuk Saadiah Aziz pada sidang media di Ibu Pejabat Sabah Electricity malam tadi.
Sabah Electricity mengaktifkan sistem pengurusan krisis sejurus mengenal pasti punca gangguan, bermula dengan memulihkan lalu lintas utama Jalan Ranau-Telupid akibat kabel merentang laluan di Ranau.
Tempoh enam hari diperlukan bagi membolehkan Sabah Electricity dan kontraktor menghantar peralatan untuk memasang menara sementara serta menyambung semula dua talian penghantaran terjejas di lokasi selamat berhampiran menara tumbang.
Sabah Electricity menggunakan kaedah islanding melalui stesen jana kuasa setempat, dengan stesen di Tawau berjaya menyalurkan bekalan manakala stesen di Sandakan masih dalam proses pemulihan.
Bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah sepanjang tempoh pemulihan dijana menerusi jana kuasa sedia ada di Sandakan dan Tawau serta disokong jana kuasa mudah alih atau bergerak, termasuk ke kemudahan penting seperti hospital, sekolah dan balai polis.
Sabah Electricity turut menggabungkan talian grid Pantai Timur bagi meningkatkan keupayaan bekalan dan mengehadkan kesan catuan antara satu hingga dua jam, selain melaksanakan catuan bergilir kerana kapasiti penjanaan setempat terhad.
Pemulihan bekalan elektrik dilaporkan berlaku secara berperingkat di beberapa kawasan di daerah Tawau, Semporna, Telupid, Sandakan, Lahad Datu dan Kunak sepanjang kelmarin.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyelaras pemulihan telekomunikasi di daerah terjejas bersama Sabah Electricity dan penyedia perkhidmatan selepas 1,196 tapak selular terjejas setakat jam 12.52 tengah hari serta talian tetap tergendala.
Penyedia perkhidmatan telekomunikasi menggunakan penjana dan bateri sebagai kuasa sementara, menggerakkan penjana bergerak dan perkongsian penjana secara berperingkat di 20 lokasi keutamaan serta berkongsi senarai collector sites, manakala MCMC menyediakan sambungan satelit Starlink di 18 lokasi kritikal.
Sabah Electricity turut berkongsi senarai kesalinghubungan hotspot dan jadual catuan bagi menyokong kesinambungan telekomunikasi serta penyelarasan pemulihan.
Sabah Electricity juga menegaskan mesej tular mengenai gangguan bekalan elektrik selama dua minggu di seluruh Pantai Timur Sabah adalah palsu, selain memohon maaf atas kesulitan pengguna serta menyediakan talian 15444, 088-515000 dan WhatsApp 019-8525427 untuk pertanyaan atau pengesahan.
Insiden ini mengimbau kejadian pada 13 Sept 2025 apabila sebuah menara penghantaran elektrik 275 kV di Kampung Sarapung, Penampang tumbang akibat tanah runtuh dan menyebabkan daerah Pantai Timur terjejas selama empat hari. — BERNAMA






























