KUALA LUMPUR (Bernama): Tiada serangan sebenar berlaku di kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) semalam, sebaliknya aktiviti di lokasi berkenaan adalah latihan simulasi kecemasan bagi menguji kesiapsiagaan operasi anggota keselamatan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata latihan pada malam tadi itu berlangsung di Gas District Cooling Plant, KLCC dengan melibatkan beberapa senario kecemasan bagi menguji keupayaan anggota menangani insiden berisiko tinggi.
“Latihan simulasi itu bertujuan menguji keupayaan anggota dalam menangani insiden berisiko tinggi yang memerlukan tindakan segera, kawalan kawasan dan pengurusan keselamatan orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam latihan simulasi itu, Ahmad Azwan bertindak sebagai Group Commander dalam menggerakkan sumber manusia dan aset operasi serta memastikan setiap tindakan di lapangan dilaksanakan dengan pantas, teratur dan berkesan.
Latihan berkenaan turut menyaksikan kerjasama antara Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dengan lima agensi lain, iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Tenaga Nasional Berhad.
Ahmad Azwan berkata kesepaduan tindakan, perkongsian kepakaran dan penyelarasan sumber antara agensi menjadi tunjang utama dalam menangani setiap insiden secara bersepadu, sistematik serta berkesan.
“Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya.
Terdahulu, terdapat hantaran di media sosial yang mendakwa berlaku situasi kecemasan di KLCC dengan berkongsi gambar kenderaan pasukan menyelamat seperti jentera bomba dan ambulans di sekitar kawasan terbabit. — BERNAMA






























