SUNGAI PETANI: Dua pelajar perempuan berusia 13 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini kelmarin atas pertuduhan mencederakan dan mengurung rakan mereka di dalam tandas sebuah sekolah di sini, bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, kedua-dua tertuduh yang merupakan pelajar tingkatan satu membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menyebabkan kecederaan kepada pelajar perempuan yang juga berusia 13 tahun di tandas blok tingkatan enam sebuah sekolah menengah, di sini pada pukul 6.40 petang, 14 Julai lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengurung mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh sama.
Pendakwaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 342 dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Nor menawarkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap tertuduh, namun peguam, N. Nagaratnam memohon jaminan rendah berikutan dua anak guamnya masih bersekolah dan memberi kerjasama kepada polis.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta memerintahkan mereka tidak mengganggu mangsa. Kes akan disebut semula pada 23 September depan.
Pada 19 Julai lalu, akhbar ini melaporkan seorang pelajar perempuan dipercayai dibuli setelah ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki diikat menggunakan tali leher serta mulut ditutup dengan sapu tangan dalam tandas sekolah.
Mangsa dikatakan dicederakan serta diperlakukan sedemikian oleh dua rakannya yang dikatakan tidak berpuas hati dengan pencapaian cemerlang pelajar itu dalam akademik.


































