Muhammad Faisal Mohamad Mohidin
KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) Semenanjung Malaysia menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam gerakan mengisytiharkan entiti haram dikenali sebagai “Republic of Sabah North Borneo”.
Pengerusi Sekretariat SABAR Semenanjung Malaysia, Muhammad Faisal Mohamad Mohidin mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu yang disifatkan tidak mempunyai sebarang asas di sisi undang-undang antarabangsa, tidak diiktiraf oleh mana-mana negara dan tidak mewakili suara majoriti rakyat Sabah.
Beliau berkata, perjuangan hak-hak Sabah perlu sentiasa berpaksikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan dan prinsip kedaulatan undang-undang, bukannya melalui tindakan provokasi atau pengisytiharan tidak sah di platform digital.
“Sejarah membuktikan pembentukan Malaysia melibatkan rundingan rasmi yang membawa kepada pemeteraian MA63. Tokoh-tokoh seperti Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Tun Fuad Stephens memainkan peranan penting dalam rundingan tersebut bersama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
“Kedudukan Sabah sebagai rakan pembentuk Malaysia adalah sah dan diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faisal berkata, entiti yang diisytiharkan itu tidak mempunyai sebarang keabsahan kerana ia hanyalah sebuah gerakan tanpa wilayah, tanpa pengiktirafan diplomatik dan tanpa kuasa pemerintahan yang sah menurut undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, SABAR kekal komited memperjuangkan hak-hak Sabah sebagaimana termaktub dalam MA63, namun perjuangan tersebut mesti dilaksanakan secara matang, berperlembagaan dan melalui saluran undang-undang yang sah.
Faisal turut menyifatkan tindakan pihak terbabit sebagai cubaan yang berpotensi menimbulkan kekeliruan, menggugat keharmonian rakyat serta menjejaskan keyakinan terhadap usaha pembangunan negeri yang sedang dilaksanakan.
Sehubungan itu, beliau mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat menyokong, menyebarkan atau mempromosikan gerakan tersebut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Faisal yang juga mantan Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri I Sabah, turut menyeru seluruh rakyat Sabah agar tidak mudah terpengaruh dengan propaganda yang boleh menggugat keamanan dan kedaulatan negeri.
Sebaliknya, beliau berkata, rakyat perlu terus bersatu mempertahankan hak-hak Sabah melalui pendekatan yang sah, berperlembagaan dan selaras dengan semangat MA63.
































