Muhammad Faisal Mohamad Mohidin
KUALA LUMPUR: Sekretariat Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) Semenanjung Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap langkah proaktif Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor untuk memperincikan semula mekanisme pelaksanaan subsidi diesel bersasar di Sabah.
Pengerusinya, Muhammad Faisal Mohamad Mohidin berkata, keputusan Kerajaan Negeri mengadakan mesyuarat susulan khas pada 17 Julai melibatkan agensi Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dan agensi Persekutuan membuktikan komitmen Kerajaan dalam menjaga kebajikan serta kepentingan rakyat Sabah.
Beliau berkata, kesungguhan Hajiji itu selaras dengan prinsip Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan ketelusan urus tadbir.
“Tindakan pantas Ketua Menteri membawa isu ini ke Mesyuarat Kabinet Negeri pada 13 Julai lalu membuktikan pentadbiran beliau responsif terhadap aduan dan maklum balas yang diterima di peringkat akar umbi.
“Kita harus berpijak di bumi yang nyata. Geografi Sabah yang luas, jaringan logistik luar bandar yang mencabar serta kebergantungan tinggi terhadap kenderaan diesel memerlukan kelonggaran syarat yang lebih dinamik.
“Isu teknikal seperti pemilikan kenderaan secara sambung bayar atau kenderaan pertanian yang tidak mempunyai dokumen komersial lengkap tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usahawan, petani dan pekebun kecil tempatan untuk menikmati hak subsidi mereka menerusi BUDI Diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Faisal berkata, SABAR menyokong penuh ketegasan Hajiji dalam menuntut keadilan fiskal untuk Sabah memandangkan negeri itu merupakan antara pengeluar utama petroleum negara.
“Sebagai wilayah pengeluar utama petroleum negara, sebarang bentuk rasionalisasi subsidi oleh Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya mengakibatkan inflasi domestik atau menjejaskan kos sara hidup rakyat Sabah secara tidak adil selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Beliau turut berharap mesyuarat yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman esok dapat dimanfaatkan untuk mendesak MoF memberikan fleksibiliti dalam proses pendaftaran subsidi diesel yang lebih sesuai dengan realiti Sabah.
Menurutnya, setiap dasar fiskal baharu Persekutuan wajar melalui proses rundingan yang telus bersama Kerajaan Negeri sebelum dilaksanakan sepenuhnya bagi melindungi rantaian logistik serta kestabilan harga barang kawalan.
Faisal berkata, SABAR Semenanjung akan terus berperanan sebagai jambatan suara masyarakat Sabah di Semenanjung dan kekal menyokong usaha Ketua Menteri dalam memastikan hak, perlindungan serta keadilan ekonomi rakyat Sabah sentiasa terpelihara.






























