Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menegaskan bahawa mempertahankan hak Sabah dan Sarawak adalah tindakan penting dalam mempertahankan asas penubuhan Persekutuan Malaysia.
Beliau berkata, hak kewangan Sabah dan Sarawak yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah ihsan atau hadiah daripada mana-mana pemimpin, sebaliknya merupakan hak yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara.
“Apabila kita mempertahankan Perlembagaan, kita sebenarnya mempertahankan Malaysia. Apabila kita mempertahankan hak Sabah dan Sarawak, kita sebenarnya mempertahankan asas penubuhan Persekutuan Malaysia,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Madius berkata, sebahagian besar kekayaan dana amanah negara berpunca daripada hasil petroleum dan gas asli di wilayah Borneo, justeru rakyat Sabah dan Sarawak berhak mendapat jaminan bahawa hak perlembagaan mereka sentiasa dihormati.
Beliau berkata, sokongannya terhadap RUU itu adalah bersyarat bagi memastikan pelaksanaannya tidak menghakis walau sedikit pun hak kedua-dua negeri berkenaan.
“Bagi menterjemahkan pengiktirafan hakiki terhadap keluhuran Perlembagaan, saya mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan penyertaan sekurang-kurangnya seorang wakil dari Sabah dan seorang wakil dari Sarawak dalam Lembaga dana kekayaan negara ini.
“Syor ini bukan mengenai politik kepartian, tetapi soal federalisme yang adil serta penghormatan terhadap sumbangan besar negeri-negeri pengeluar sumber asli kepada pembentukan kewangan negara,” katanya.
Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, pemeliharaan hak negeri dalam akta berkenaan mesti dipandu oleh mekanisme semak dan imbang yang kukuh dan bukannya bergantung sepenuhnya kepada budi bicara seorang menteri.
“Pemeliharaan hak negeri dalam akta tersebut mestilah dipandu oleh mekanisme semak dan imbang yang utuh, dan bukan sekadar meletakkan kuasa atau harapan kepada budi bicara mutlak seorang menteri,” katanya.
Menurut beliau, komitmen Kerajaan dalam memelihara hak Sabah dan Sarawak melalui akta itu akan menentukan sama ada kekayaan Persekutuan dapat diwariskan kepada generasi akan datang dengan penuh integriti, keadilan dan selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia.


































