KOTA KINABALU: Kelab Tinju Profesional Kinabalu (KTPK) dan European Wellness Sports Science Regenerative Centre (EW-SSRC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan tinju profesional di Sabah menerusi tumpuan kepada pembangunan atlet, teknologi pemulihan dan perubatan regeneratif.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkasakan sukan tinju profesional serta meningkatkan standard penjagaan atlet di negeri ini.
Katanya, pendekatan yang menggabungkan sains sukan, teknologi pemulihan dan perubatan regeneratif bukan sahaja membantu atlet pulih daripada kecederaan, malah membolehkan mereka mengekalkan prestasi terbaik dalam pertandingan.
“Pemilihan Sabah sebagai lokasi kerjasama ini membuktikan keyakinan terhadap potensi negeri ini untuk berkembang sebagai pusat pembangunan sukan berprestasi tinggi, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan dan kerjasama dalam industri sukan.
“Kesihatan atlet sama penting dengan kemenangan mereka dan kerjasama ini menetapkan standard baharu dalam penjagaan atlet sukan tempur profesional,” katanya pada sidang media Kejohanan BAM Championship di European Wellness Premier Centre, di sini, hari ini. Ucapan beliau disampaikan oleh wakilnya, Francis Chung.
Sementara itu, Setiausaha KTPK, Zairul berkata, kerjasama tersebut membuka peluang kepada atlet Sabah untuk memanfaatkan teknologi pemulihan kecederaan dan kepakaran perubatan sukan yang mampu meningkatkan prestasi mereka.
Beliau menggesa atlet tempatan mengambil peluang itu untuk meningkatkan kualiti latihan dan prestasi melalui penggunaan teknologi moden serta pengetahuan yang lebih mendalam dalam pembangunan atlet.
Zairul turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Lembaga Sukan Negeri Sabah, European Wellness dan Persekutuan Tinju Profesional Malaysia (MPBF) atas sokongan dalam menjayakan Kejohanan BAM Championship.
Katanya, kejohanan itu mendapat komitmen tinggi daripada petinju, jurulatih dan pengurus pasukan yang telah membuat persiapan sejak dua hingga tiga bulan lalu.
“Kejohanan ini turut menyaksikan penyertaan atlet dari beberapa daerah termasuk Sandakan, Tongod, Tambunan, Penampang dan Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berharap kerjasama antara badan sukan, agensi kerajaan dan sektor swasta akan terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai petinju profesional dari Sabah yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Majlis pemeteraian MoU antara EW-SSRC dan KTPK itu diadakan sebagai langkah memperkukuh kerjasama dalam pembangunan atlet serta memajukan industri tinju profesional di Sabah.
Kejohanan BAM Championship akan berlangsung esok (17 Julai) di Dewan Sri Putatan.
Perlawanan dijadual bermula dari jam 4 petang hingga 6 petang dengan siaran langsung percuma menerusi Facebook, YouTube dan TV Sabah, manakala aksi utama bermula jam 7 malam dan boleh disaksikan secara bayar-per-tonton (PPV) menerusi platform TV Sabah OTT.






























