Masidi menerima cenderamata daripada Pamela. Turut kelihatan Ismail (lima dari kanan) bersama rombongannya.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun mengucapkan tahniah dan syabas kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau atas kejayaan menerima Anugerah Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026 sempena Hari Anugerah Pendidik MARA 2026 peringkat kebangsaan.
Pengiktirafan itu diberikan susulan pencapaian akademik cemerlang MRSM Ranau dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Kejayaan tersebut turut meletakkan MRSM Ranau di tempat pertama dalam kalangan sembilan MRSM di Borneo, sekali gus membuktikan kecemerlangan berterusan institusi itu dalam melahirkan pelajar berprestasi tinggi.
Masidi yang juga ADUN Karanaan berkata, pencapaian berkenaan adalah hasil komitmen dan dedikasi tinggi seluruh warga MRSM Ranau, termasuk pihak pengurusan, tenaga pengajar, pelajar serta sokongan padu ibu bapa melalui Badan Pemuafakatan Malaysia Cawangan MRSM Ranau.
“Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia membuktikan bahawa anak-anak Sabah mampu bersaing dan mencapai kecemerlangan di peringkat tertinggi apabila diberikan pendidikan yang berkualiti serta sokongan yang berterusan,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Badan Pemuafakatan Malaysia Cawangan MRSM Ranau yang diketuai Yang Dipertuanya, Pamela Joseph bersama Pengetua MRSM Ranau, Ismail Badri dan rombongan di pejabatnya, di sini.
Masidi berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada institusi pendidikan lain di Sabah untuk terus meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kepimpinan pelajar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MARA atas komitmen berterusan dalam menyediakan pendidikan berkualiti serta melahirkan modal insan berdaya saing yang akan menyumbang kepada pembangunan Sabah dan negara.
Sementara itu, Ismail merakamkan penghargaan kepada Masidi atas sokongan, keprihatinan dan komitmen berterusan beliau terhadap pembangunan sektor pendidikan, khususnya di daerah Ranau.
Katanya, sokongan yang diberikan oleh Masidi, sama ada dalam aspek pembangunan pendidikan mahupun pembangunan modal insan, telah menjadi pemangkin kepada usaha institusi pendidikan di daerah itu untuk terus meningkatkan prestasi akademik dan melahirkan pelajar yang cemerlang, berdaya saing serta berakhlak mulia.
Menurutnya, kejayaan MRSM Ranau menerima Anugerah Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026 serta muncul sebagai antara empat MRSM terbaik daripada 57 MRSM di seluruh negara adalah hasil usaha bersepadu semua pihak.
“Anugerah ini adalah hasil usaha bersepadu semua pihak, termasuk sokongan berterusan daripada pemimpin, warga pendidik, ibu bapa dan pelajar,” katanya.






























