KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick komited untuk terus membantu usahawan dan peniaga Sabah yang mengeluarkan produk beridentitikan negeri itu di Tamu Budaya Borneo Seri Kembangan, di sini.
Beliau berkata, komitmen itu adalah kesinambungan daripada usaha yang telah dilaksanakannya ketika menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Ketika menerajui KUSKOP, saya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan bagi menaik taraf kemudahan dan keperluan di Tamu Budaya Borneo.
“Saya gembira dan berbangga apabila dimaklumkan Tamu Budaya Borneo terus berkembang serta menerima permintaan daripada lebih ramai usahawan Sabah dan Sarawak untuk berniaga di sini,” katanya selepas menghoskan majlis makan malam dan mengadakan pertemuan bersama Persatuan Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan yang diketuai Presidennya, Nelson Entap, sempena keberadaannya di Kuala Lumpur bagi menghadiri persidangan Parlimen, di sini, semalam.
Ewon berkata, ketika menerajui KUSKOP, beliau turut memperkenalkan Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) menerusi TEKUN Nasional khusus bagi membantu usahawan tamu Sabah dan Sarawak.
Katanya, sehingga kini sebanyak 12 kumpulan Teman TEKUN telah ditubuhkan di Tamu Budaya Borneo dan menerima pembiayaan daripada agensi berkenaan.
“Kini, semasa saya memimpin Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET), saya menerima banyak permohonan dan syor agar terus membantu usahawan Sabah yang mengeluarkan produk beridentitikan Sabah di luar negeri, khususnya di Lembah Klang dan kawasan sekitarnya.
“Ini pastinya menjadi antara agenda saya di MINDET di bawah Wawasan Sabah First selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.






























