PENAMPANG: Polis berjaya menyelesaikan kes vandalisme membabitkan sebuah pondok ibadat di Putatan dengan penahanan lima remaja lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun kelmarin.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, penahanan itu dibuat pada 15 Julai hasil siasatan dan maklumat yang disalurkan orang ramai.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca daripada perbuatan vandalisme dan tidak mempunyai kaitan dengan unsur menghina atau menjatuhkan mana-mana agama.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
“IPD Penampang memandang serius sebarang perbuatan khianat yang melibatkan rumah atau tempat ibadat kerana ia berpotensi menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sammy memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, profesional dan berdasarkan peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan semula gambar serta video berkaitan kejadian sehingga boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Pihak polis merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat sehingga membolehkan kes ini diselesaikan dalam tempoh yang singkat,” katanya.






























