Hajiji (kiri) mengiringi Tun Musa (rengah) pada Majlis Mengadap Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan hari ini.
BANDAR SERI BEGAWAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada Majlis Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di Istana Nurul Iman, di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman bersama isterinya, Datin Hajah Siti Yuslaini Mohd. Samsuri.
Terdahulu pada sebelah pagi, Hajiji dan isteri merupakan antara tetamu khas yang menghadiri Majlis Istiadat Barisan Kehormatan sempena Hari Keputeraan Ke-80 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali, sebelum menghadiri Majlis Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Brunei di Istana Nurul Iman.
Sepanjang lawatan rasmi itu, Hajiji turut menghadiri beberapa acara istiadat rasmi lain yang diatur sempena sambutan berkenaan, termasuk Majlis Persantapan sempena Hari Keputeraan Ke-80 Sultan Brunei pada malam esok.
Ketua Menteri dan isteri tiba di Brunei kelmarin bagi mewakili Kerajaan Sabah dalam istiadat rasmi sempena sambutan tersebut, sekali gus mencerminkan hubungan erat serta persahabatan yang sekian lama terjalin antara Sabah dan Brunei Darussalam.




























