Julita (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan tersebut kepada seorang daripada KIR yang terjejas.
KOTA MARUDU: Seramai 11 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Telupid Baru menerima bantuan semasa lawatan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki ke Dewan Kampung Talantang 1, di sini, hari ini.
Bantuan yang disampaikan merangkumi sumbangan tunai RM500 kepada setiap ketua isi rumah bagi membantu pembelian keperluan persekolahan, selain pakaian dan kasut sekolah kepada 10 ketua isi rumah yang mempunyai anak bersekolah.
Bantuan itu melengkapi bantuan awal yang telah disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mangsa susulan kebakaran yang berlaku baru-baru ini.
Julita berkata, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban keluarga yang sedang melalui tempoh sukar selain membantu mereka memulakan semula kehidupan selepas kehilangan tempat tinggal.
“Kerajaan mungkin tidak dapat menggantikan segala yang hilang, namun kita akan terus membantu setakat yang termampu agar keluarga yang terjejas dapat bangkit semula dan menyusun kembali kehidupan mereka,” katanya.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan mangsa tidak berasa bersendirian dalam menghadapi situasi tersebut serta terus mendapat perhatian sewajarnya sepanjang proses pemulihan.
“Kehilangan tempat tinggal bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi, tetapi saya percaya dengan semangat yang ada pada setiap keluarga dan sokongan daripada pelbagai pihak, mereka akan dapat melalui tempoh ini dan bangkit semula sedikit demi sedikit,” katanya.
Julita turut merakamkan penghargaan kepada JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan sejak hari pertama kejadian.
Beliau menegaskan Kerajaan akan terus memantau kebajikan mangsa sepanjang proses pemulihan.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Henry Idol; Pemimpin Pembangunan Masyarakat Bandau, Julita Dalinsi; Pegawai Pembangunan Masyarakat Tandek, Joseh Vung Nyuk Chin; Pegawai Kebajikan Daerah Kota Marudu, Mizan Ahmad; dan Ketua Daerah Tandek, OKK Elui Majingkin.
































