KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengambil perhatian serius terhadap insiden seorang murid yang terjatuh di kawasan sebuah sekolah di Papar baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, JPN Sabah berkata, pihak sekolah telah mengambil tindakan segera dengan memberikan bantuan awal kepada mangsa, memaklumkan keluarga dan pihak polis serta mengawal kawasan kejadian bagi mengelakkan suasana panik.
Menurut kenyataan itu, mangsa telah menerima pemeriksaan dan rawatan di hospital.
“Berdasarkan laporan perubatan, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya.
JPN Sabah berkata, kebajikan, keselamatan serta kesejahteraan emosi mangsa terus diberi perhatian menerusi pemantauan berterusan.
Katanya, sokongan psikososial dan emosi turut diberikan kepada mangsa serta warga sekolah yang terkesan dengan kejadian berkenaan.
Pada masa sama, JPN Sabah akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.
“Hasil siasatan awal pihak sekolah mendapati tiada unsur jenayah atau buli dalam kejadian ini,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh mengganggu siasatan selain menjejaskan kesejahteraan mangsa, keluarga dan seluruh warga sekolah.
































