Joniston bergambar dengan para peserta.
KIULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai menggesa agar elemen anti-buli dimasukkan dalam program sekolah bagi memupuk empati, sikap prihatin serta interaksi sosial yang selamat dalam kalangan murid.
Beliau berkata, sekolah memainkan peranan penting dalam mendidik pelajar mengenai akibat perbuatan membuli, sama ada di luar mahupun dalam talian, selain mewujudkan suasana yang menekankan nilai hormat dan belas kasihan.
“Mungkin sekolah boleh mempertimbangkan untuk mengadakan kempen anti-buli. Pelajar mesti belajar memilih untuk berbuat baik dalam persahabatan, mengelak daripada mengejek atau mengasingkan orang lain, serta menyokong rakan yang memerlukan bantuan.
“Pelajaran seperti ini sama penting dengan ilmu akademik kerana ia membentuk sahsiah serta kesejahteraan emosi anak-anak kita,” katanya ketika merasmikan Perkhemahan Perpaduan MADANI Unit Beruniform Sekolah Rendah Negeri Sabah 2025 di SK Taginambur, di sini, hari ini.
Joniston turut memberi peringatan tentang risiko dunia digital yang semakin membimbangkan, termasuk pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, penipuan dalam talian dan buli siber.
Beliau menyeru ibu bapa agar lebih peka memantau penggunaan gajet anak-anak serta membimbing mereka menggunakan internet secara berhemah dan selamat.
“Memantau penggunaan gajet bukan lagi pilihan tetapi satu tanggungjawab, kerana jika kita tidak membimbing anak-anak, kita berisiko kehilangan mereka kepada bahaya dunia maya. Intervensi awal sangat penting untuk melindungi mereka daripada pengaruh negatif dalam talian,” tegasnya.
Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, program seperti Perkhemahan Perpaduan MADANI Unit Beruniform membantu pelajar membangunkan kemahiran hidup asas.
Program itu yang turut dihadiri pelajar, guru dan ibu bapa bertujuan menyemai disiplin, semangat berpasukan serta kepimpinan di samping memperkukuh perpaduan dalam kalangan peserta pelbagai latar belakang.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan para pelajar supaya berbangga dengan keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian budaya di Sabah, sekali gus menginspirasikan mereka menjadi duta muda pelancongan negeri pada masa hadapan.

































