Liew (duduk, tengah) bersama ahli Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri, ketua jawatankuasa kecil, pegawai kanan KePKAS serta wakil jabatan dan agensi Persekutuan dan Negeri di Bilik Mesyuarat kementerian. Di sebelah kanannya ialah Lai.
KOTA KINABALU: Persiapan sedang giat dijalankan bagi Sambutan Peringkat Negeri Sabah Hari Malaysia 2025 yang akan diadakan di Padang Merdeka pada 16 September depan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri, telah mempengerusikan mesyuarat akhir semalam, di mana beliau menerima laporan mengenai perkembangan persiapan daripada Setiausaha, Datuk Josie Lai yang juga Setiausaha Tetap kementerian berkenaan.
Ketua 14 jawatankuasa kecil yang dipertanggungjawabkan dengan peranan masing-masing turut membentangkan laporan.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin akan berangkat memeriahkan sambutan itu.
Selain persembahan hiburan, Liew berkata, cabutan bertuah untuk orang ramai juga akan diadakan dengan hadiah menarik menanti pemenang. Antara hadiah termasuk telefon pintar, set televisyen, barangan elektrik, basikal, penginapan hotel dan baucar bufet.
“Turut disediakan minuman Milo percuma, aiskrim dan belon untuk kanak-kanak yang ditaja oleh syarikat-syarikat prihatin,” katanya.
Antara yang hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap II kementerian, Datin Dr Cleopatra Asing; Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Sabah, Mackey Apison; Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah, Thonny Chee; ACP Sabarudin dan DSP Lee Nyuk Kim dari Polis Kontinjen Sabah; Percetakan Kerajaan, Liew Chern Wei; Pengarah DBKK (Hal Ehwal Korporat), Rosie Inus Molukun; Ketua Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan, Dr Diana Dominic; serta Penolong Pengarah Kanan RTM Sabah (Program TV), Aris Arapa.


































