KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan kesahihan poster yang memaparkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 yang kini tular di media sosial.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, poster berkenaan adalah palsu dan tidak benar sama sekali.
“Sehingga kini, SPR belum membuat sebarang pengumuman rasmi berhubung pembubaran DUN Sabah mahupun penetapan tarikh-tarikh penting bagi PRU tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, sebarang maklumat berkaitan pilihan raya, termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari mengundi hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi SPR.
“Maklumat rasmi hanya diumumkan melalui portal rasmi SPR, sidang media dan kenyataan media. Orang ramai dinasihatkan tidak mempercayai maklumat selain daripada saluran ini,” katanya.
Khairul Shahril berkata, penyebaran maklumat palsu seperti itu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Beliau mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang menyebar, berkongsi atau menerbitkan maklumat palsu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain yang berkaitan.
“SPR menyeru orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang maklumat yang tidak sahih. Dapatkan maklumat yang tepat dan sahih hanya daripada saluran rasmi SPR,” tegasnya.


































