Pep Guardiola perlu mencari penyelesaian segera bagi mengembalikan keyakinan pemain selepas tewas lima perlawanan berturut-turut.
LONDON: Manchester City bukan pilihan utama untuk memenangi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas beberapa musim mempamerkan penguasaan penuh.
Menurut Utusan Malaysia, pengurus Liverpool, Arne Slot, bagaimanapun tidak mengambil kira prestasi merudum juara bertahan itu menjelang pertembungan di Anfield, Isnin ini.
City mengalami penurunan prestasi yang mengejutkan dengan lima kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan.
Walaupun mereka menamatkan rekod buruk itu dengan keputusan seri 3-3 menentang Feyenoord dalam Liga Juara-Juara, Rabu lalu meskipun pada satu ketika mendahului 3-0, ia hanya mengukuhkan tanggapan bahawa pasukan bimbingan Pep Guardiola sedang bergelut.
Liverpool, yang kini pendahulu Liga Perdana, berpeluang untuk melebarkan jurang kepada 11 mata sekiranya menewaskan City, Isnin ini.
Dengan prestasi semasa skuad Slot, ramai menjangkakan mereka mampu melakukannya.
Kemenangan 2-0 ke atas juara Eropah, Real Madrid menjadikan Liverpool mencatat 17 kemenangan dalam 19 perlawanan sejak Slot menggantikan Jurgen Klopp.
Mereka juga kini mendahului kumpulan Liga Juara-Juara dengan rekod kemenangan 100 peratus.
Guardiola, yang menyifatkan City sebagai ‘rapuh’, kini jelas dalam situasi tertekan. Namun, Slot tetap berhati-hati.
“Mereka masih pasukan yang sangat bagus, dan salah satu sebab mengapa Pep adalah yang terbaik di dunia, beliau sentiasa ada jalan penyelesaian untuk masalahnya.
“Mungkin (pemain tengah) Rodri tiada sekarang, tetapi beliau akan mencari jalan penyelesaian. Saya tidak akan terkejut jika Pep tampil dengan idea yang lebih baik,” kata Slot kepada pemberita.
Walaupun ketika City berada di puncak prestasi, bermain di Anfield sentiasa mencabar.
Dalam sembilan kunjungan Guardiola ke Liverpool bersama City, hanya sekali beliau berjaya mencatat kemenangan iaitu keputusan 4-1 pada Februari 2021 ketika perlawanan berlangsung tanpa penonton.
Lima kali mereka tewas dan tiga perlawanan lain berakhir seri, termasuk musim lalu.