Masidi melawat ruangan pameran.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, badan berkanun negeri dan syarikat kerajaan negeri (GLC) Sabah perlu memperkukuh tadbir urus, integriti serta akauntabiliti bagi memastikan organisasi yang diterajui terus berprestasi tinggi dan menyumbang kepada kemampanan fiskal negeri.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Ahli Lembaga Pengarah tidak boleh sekadar berperanan meluluskan cadangan pengurusan, sebaliknya perlu bertindak sebagai pemegang amanah yang menjaga tadbir urus, akauntabiliti dan kepercayaan rakyat.
Katanya, kepimpinan yang baik bukan diukur berdasarkan populariti atau pujian, tetapi keberanian membuat keputusan yang betul, berintegriti dan bertanggungjawab walaupun berdepan kritikan atau tekanan luar.
“Lembaga bukan sekadar meluluskan kertas cadangan dan bukan ‘rubber stamp’ kepada pihak pengurusan. Lembaga ialah penjaga amanah, tadbir urus, akauntabiliti dan kepercayaan rakyat.
“Ada kalanya keputusan yang betul bukan keputusan yang mudah atau popular, namun kepentingan organisasi, kerajaan negeri dan rakyat mesti sentiasa diutamakan,” katanya ketika merasmikan Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri Tahun 2026 di The Magellan Sutera Harbour Resort, di sini, kelmarin.
Masidi berkata, setiap Ahli Lembaga Pengarah perlu berpegang kepada dua prinsip utama iaitu duty of care dan duty of loyalty dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Katanya, setiap keputusan mesti dibuat selepas dokumen diteliti, fakta dan risiko dinilai serta persoalan kritikal dikemukakan, manakala sebarang konflik kepentingan perlu diisytiharkan secara telus.
Beliau berkata, kegagalan tadbir urus lazimnya tidak bermula dengan satu kesalahan besar, tetapi berpunca daripada kelemahan kecil yang dibiarkan berlarutan seperti dokumen tidak dibaca, risiko dipandang ringan dan budaya “asal lulus” tanpa penelitian.
“Budaya seperti ini mesti dihentikan. Kerajaan Negeri mahu badan berkanun dan syarikat kerajaan negeri menjadi organisasi berprestasi tinggi, berdisiplin dari segi kewangan, ditadbir dengan baik dan mampu menjana nilai kepada negeri,” katanya.
Masidi berkata, prestasi organisasi tidak boleh diukur hanya berdasarkan jumlah mesyuarat atau program yang dilaksanakan, sebaliknya perlu dinilai melalui impak sebenar terhadap pencapaian mandat, kecekapan pengurusan sumber dan pulangan kepada negeri.
Beliau turut menarik perhatian terhadap trend sumbangan badan berkanun dan GLC kepada Kerajaan Negeri yang menunjukkan dividen dan sumbangan meningkat daripada RM117.354 juta pada 2021 kepada RM156.313 juta pada 2022 sebelum menurun kepada RM131.60 juta pada 2025.
Dalam tempoh sama, katanya, bayaran balik pinjaman turut merosot daripada RM106.902 juta pada 2022 kepada RM29.424 juta pada 2025.
“Angka-angka ini menunjukkan bahawa setiap keputusan lembaga, sama ada berkaitan pelaburan, pinjaman, perolehan atau pengurusan risiko, mempunyai kesan langsung terhadap prestasi organisasi dan kedudukan fiskal negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan untuk beralih daripada pendekatan governance by compliance kepada governance by performance and accountability, dengan setiap pematuhan diterjemahkan kepada hasil yang boleh diukur.
Masidi turut mengingatkan bahawa setiap ringgit yang dibelanjakan perlu memberikan nilai kepada organisasi dan rakyat, selain menggesa semakan semula terhadap elaun, manfaat atau program yang tidak mempunyai justifikasi jelas serta tidak menyumbang kepada produktiviti dan prestasi.
Beliau berkata, lembaga pengarah juga perlu memberi perhatian serius kepada pengurusan risiko termasuk ketidaktentuan ekonomi, perubahan teknologi, keselamatan siber, perlindungan data dan tuntutan rakyat terhadap ketelusan.
Menurutnya, organisasi perlu mempunyai kawalan dalaman yang berkesan, audit dalaman yang bebas, mekanisme pemberi maklumat yang berfungsi serta pemantauan risiko secara berterusan.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong organisasi yang berprestasi baik dan mempunyai potensi untuk berkembang. Namun organisasi yang gagal melaksanakan mandat, lemah dari segi tadbir urus atau tidak mempunyai hala tuju yang jelas mesti dinilai secara objektif dan berani.
“Kita tidak boleh mempertahankan ketidakcekapan atas alasan tradisi, hubungan atau kebiasaan,” katanya.
Masidi berkata, sebelum membuat sesuatu keputusan, Ahli Lembaga Pengarah perlu menilai sama ada keputusan tersebut mematuhi undang-undang, beretika serta memberi manfaat jangka panjang kepada organisasi, negeri dan rakyat.
Katanya, kepimpinan sebenar dibina atas prinsip, integriti dan keberanian untuk melakukan perkara yang betul, selaras dengan tema kursus tahun ini iaitu “Do What Is Right”.






























