Ewon Benedick
KOTA BELUD: Kejayaan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 bergantung kepada peranan besar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai jentera kerajaan di peringkat akar umbi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, kerjasama erat antara JKKK, agensi kerajaan dan masyarakat setempat amat penting bagi memastikan pelan pembangunan yang sedang dilaksanakan dapat mencapai matlamat yang ditetapkan.
“Saya amat yakin dengan adanya kerjasama ini, kita dapat melihat pembangunan Kadamaian yang lebih baik menjelang 2030.
“Begitu juga dari segi keselamatan. Saya berharap mereka dapat memastikan keselamatan kampung teratur. Sebab itu pada hari ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut menyampaikan taklimat berkaitan keselamatan,” katanya selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 73 Pengerusi JKKK dari seluruh kawasan DUN Kadamaian di Perkarangan Pejabat Perkhidmatan ADUN Kadamaian, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, berharap semua Pengerusi JKKK yang dilantik dapat memainkan peranan dalam memperkukuh kemajuan, keselamatan, perpaduan dan keharmonian di kampung masing-masing.
“Saya mengucapkan tahniah atas pelantikan ini dan semoga dapat memimpin kampung masing-masing bagi memastikan perkara berkaitan kemajuan dan keselamatan kampung, perpaduan, keharmonian, kerjasama dan kebersamaan rakyat dapat diperkukuhkan,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menghargai sumbangan Yayasan KOSMA yang melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyumbangkan alat pemadam api kepada 97 kampung dalam kawasan DUN Kadamaian.
Menurutnya, kerjasama bersepadu antara kerajaan, badan korporat dan masyarakat setempat mampu membawa Kadamaian ke tahap pembangunan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
Sementara itu, Ewon turut meninjau rumah baharu milik seorang warga emas dari Kampung Tobur, Kadamaian, Aman Dorinsim, yang siap dibina menerusi sumbangan CSR Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sdn. Bhd.
Beliau berkata, program CSR berkenaan mencerminkan keprihatinan sektor korporat dalam membantu golongan memerlukan, khususnya mereka yang berdepan kesukaran hidup.
Katanya, beliau bersama pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian pernah mengunjungi Aman pada 31 Januari lalu dan mendapati rumah yang didiami warga emas itu berada dalam keadaan sangat uzur.
“Susulan itu, saya meminta KKIP membantu melalui program CSR mereka. Saya berharap rumah baharu ini dapat memberikan keselesaan kepada Aman Dorinsim,” katanya.
Pada April lalu, Ewon menyampaikan sumbangan CSR KKIP berjumlah RM20,000 bagi membiayai pembinaan rumah baharu yang lebih selesa untuk Aman yang tinggal bersendirian dan mengalami masalah penglihatan.
Anak penerima sumbangan itu, Jose Dorinsim, merakamkan penghargaan kepada Ewon dan KKIP Sdn Bhd atas keprihatinan membantu bapanya mendapatkan kediaman yang lebih selesa dan mesra orang kurang upaya (OKU).
“Kami sekeluarga amat bersyukur dan berterima kasih kepada Datuk Ewon dan KKIP Sdn Bhd atas pembinaan rumah baharu ini yang pastinya memberi keselesaan kepada bapa saya yang tinggal bersendirian dan menghadapi masalah penglihatan.
“Kami menghargai keprihatinan semua pihak yang telah membantu merealisasikan pembinaan rumah ini,” katanya.






























