Sultan Ibrahim memperkenan menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor. Sumbangan disampaikan oleh Avinderjit Singh (kanan) kepada Hajiji (kiri).
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor merakamkan penghargaan bagi pihak Kerajaan Sabah atas sumbangan RM500,000 yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar kepada mangsa-mangsa bencana kebakaran di Kudat dan Sandakan.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pemegang Amanah Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Tan Sri Avinderjit Singh kepada Ketua Menteri dengan disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini hari ini.
Hajiji berkata sumbangan itu mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap rakyat Sabah yang terjejas akibat bencana berkenaan.
“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan dan sokongan yang diberikan, khususnya kepada mangsa kebakaran di Kampung Gumpa, Kudat dan kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan,” katanya.
Beliau menambah bahawa Kerajaan Sabah, menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), akan terus memperkukuh penyelarasan bantuan kebajikan, pengurusan pusat pemindahan sementara serta usaha memastikan kebajikan dan kesejahteraan mangsa terus terpelihara.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr. Safar Untong, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri, Datuk Awang Shahminan Sahari, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson dan Pegawai Daerah Kudat, Charles William Dabbi.
Pada 16 April tahun ini, lapan buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gumpa, Kudat yang menjejaskan 67 orang. Dua hari kemudian, pada 18 April, satu kebakaran besar memusnahkan 1,050 buah rumah di Kampung Bahagia, Sandakan yang menjejaskan 914 ketua isi rumah.






























