Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA (Bernama): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan enam ikhtiar segera untuk rakyat merangkumi subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan kesihatan, e-Invois dan pembiayaan mikro yang akan berkuat kuasa 1 Sept ini.
Beliau berkata kesemua ikhtiar itu merupakan langkah kerajaan menangani kebimbangan rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup dan tekanan kehidupan seharian.
“Kendatipun pelbagai ikhtiar telah dilaksanakan, saya, Timbalan Perdana Menteri, jemaah menteri tidak pernah menganggap bahawa kita sudah selesai semua masalah dan ini bukan tirai untuk menutup keresahan rakyat. Saya faham rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup.
“Maka, di ambang kemerdekaan ini, saya terpaksalah berikhtiar, mencari jalan, mengambil langkah mengumumkan sesuatu yang boleh melegakan sementara … untuk anak-anak sekolah, anak muda, suri rumah dan ibu-ibu,” kata Anwar ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Menerusi ikhtiar pertama, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, membolehkan lebih 16 juta pengguna menikmati RON95 bersubsidi.
Pada masa sama, beliau berkata lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menikmati Budi Diesel hingga 400 liter sebulan.
Beliau turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi 2027 akan ditingkatkan sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion, meliputi semua aliran termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau juga mengarahkan Kementerian Pendidikan mengatur gerak kerja pada setiap daerah bagi meneliti permohonan pembaikan prasarana supaya kerja penyelenggaraan dapat dimulakan seawal Januari 2027.
Ikhtiar ketiga, melibatkan Program AI untuk Rakyat yang dibuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun, dengan 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI secara percuma selama tiga bulan, termasuk IlmuChat, Gemini Enterprise, Wonderclipdan MuleRun.
Bagi ikhtiar keempat, Perdana Menteri berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyediakan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam, termasuk pelaksanaan sistem Rekod Kesihatan Elektronik (EMR) serta ketersambungan Internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam.
“Kerajaan juga bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, sekali gus mengecualikan perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta daripada kewajipan melaksanakannya,” kata beliau.
Selain itu, kemudahan pembiayaan mikro akan ditambah sebanyak RM1 bilion menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.
Anwar berkata kerajaan juga akan memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI RM200 juta untuk membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta ibu yang berniaga dari rumah.
“Inilah semangat perpaduan kita. Mudah-mudahan keenam-enam ikhtiar ini dapat dilaksanakan kerana ia bertitik tolak daripada satu prinsip yang jelas iaitu pertumbuhan ekonomi mesti dikembalikan kepada rakyat,” kata Anwar.
Sementara itu, menerusi hantaran dalam Facebook, Anwar berkata pengumuman lain akan disampaikan sewaktu sambutan Hari Malaysia di Sarawak, serta menerusi pembentangan Belanjawan 2027.
“Semoga ikhtiar ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban rakyat serta memberikan makna yang nyata kepada sambutan kemerdekaan tahun ini,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata beliau dan seluruh pasukan Kerajaan MADANI akan terus mendengar suara serta keresahan rakyat dan terus bekerja keras untuk memastikan setiap kejayaan negara diterjemahkan kepada limpahan manfaat yang dirasai rakyat serta kehidupan lebih sejahtera dan bermaruah.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, barisan jemaah menteri dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.


























