Tun Musa Aman
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun (Dr.) Musa Haji Aman menyeru rakyat supaya tidak membiarkan percaturan politik yang keterlaluan, dendam politik, perasaan iri hati atau kepentingan peribadi memecah-belahkan rakyat serta menghakis keamanan dan keharmonian yang telah lama dibina.
Dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026, beliau berkata, perbezaan pandangan politik merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat, namun tidak seharusnya bertukar menjadi kebencian, permusuhan atau usaha melaga-lagakan rakyat.
“Politik pada asasnya haruslah berteraskan khidmat kepada rakyat dan usaha membina masa depan yang lebih baik. Politik tidak seharusnya dijadikan alat untuk membalas dendam peribadi, menyebarkan tuduhan berniat jahat atau mencetuskan perpecahan demi kepentingan politik,” katanya.
Tun Musa turut mengingatkan rakyat supaya berwaspada terhadap maklumat palsu, fitnah serta kandungan media sosial yang sengaja direka untuk mencetuskan kemarahan dan kebencian.
Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, supaya menggunakan kebijaksanaan dan bertindak secara bertanggungjawab dalam menilai perkara yang dibaca, dipercayai dan dikongsikan.
“Kebebasan bersuara haruslah dilaksanakan secara bertanggungjawab. Kebebasan tidak boleh dijadikan alasan untuk menggugat keharmonian, menyemarakkan kebencian atau melemahkan institusi serta nilai-nilai yang melindungi demokrasi dan kedaulatan negara kita,” katanya.
Mengenai sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, Tun Musa berkata, kedua-dua sambutan itu bukan sahaja perlu diraikan dengan rasa bangga dan penuh kesyukuran, tetapi turut menjadi ruang untuk memperbaharui kesedaran mengenai pentingnya keamanan, kebebasan dan kedaulatan yang dinikmati.
Beliau berkata, bagi rakyat Sabah, 31 Ogos mempunyai makna amat istimewa kerana selain menyambut Hari Kebangsaan bersama seluruh rakyat Malaysia, ia turut memperingati Hari Sabah yang menandakan satu lembaran penting dalam sejarah negeri itu.
Katanya, kedua-dua sambutan berkenaan memberi peluang untuk mengimbas kembali sejarah serta merenungkan tanggungjawab dalam memelihara keamanan, perpaduan dan kemakmuran yang dibina menerusi usaha serta pengorbanan generasi terdahulu.
Tun Musa berkata, sambutan tahun ini berlangsung ketika dunia berhadapan ketidaktentuan yang semakin meningkat, termasuk konflik dan ketegangan geopolitik di pelbagai pelosok dunia, khususnya di Timur Tengah.
Beliau berkata, konflik berkenaan telah membawa penderitaan besar kepada orang awam yang tidak berdosa, dengan ramai kehilangan tempat tinggal, kediaman dan mata pencarian musnah, manakala tidak terhitung nyawa terkorban atau kehidupan berubah selama-lamanya akibat kemusnahan peperangan.
“Tragedi-tragedi ini seharusnya mengingatkan kita bahawa keamanan tidak boleh dipandang ringan. Kebebasan, kemerdekaan dan kedaulatan amat berharga, namun semuanya juga boleh menjadi rapuh sekiranya tidak dipelihara,” katanya.
Beliau berkata, kestabilan yang dinikmati rakyat Malaysia sejak sekian lama dibina atas pengorbanan, sikap bertolak ansur, saling menghormati serta kebijaksanaan generasi terdahulu dan menjadi tanggungjawab bersama untuk menghargai serta mempertahankan warisan itu.
Tun Musa turut berkata, Malaysia telah mencapai kemajuan membanggakan sejak mencapai kemerdekaan, termasuk dari segi ekonomi dan sosial, tahap pendidikan rakyat, kemudahan infrastruktur serta peluang untuk maju yang semakin bertambah.
Beliau berkata, walaupun masih berhadapan pelbagai cabaran, rakyat tidak seharusnya melupakan sejauh mana negara telah melangkah.
Mengenai Sabah, Tun Musa berkata, Sabah telah dan akan terus memainkan peranan penting dalam kemajuan Malaysia, manakala Hari Sabah memberi peluang untuk mengimbas perjalanan negeri serta menghargai ketabahan, keazaman dan semangat perpaduan yang membentuk Sabah hingga ke hari ini.
Beliau berkata, antara kekuatan terbesar Sabah ialah perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama, budaya dan tradisi.
“Sejak turun-temurun, kita telah hidup bersama dalam suasana saling menghormati dan memahami. Keistimewaan ini merupakan sesuatu yang amat berharga bagi Sabah dan wajib kita pertahankan,” katanya.
Dalam pada itu, Tun Musa berkata, tumpuan Sabah harus kekal kepada pembangunan dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Sempena Hari Sabah, beliau menyeru supaya tekad diperbaharui untuk membina sebuah negeri yang semakin makmur, progresif dan mampu menyediakan peluang lebih luas kepada generasi akan datang, dengan kepentingan rakyat sentiasa menjadi teras kepada setiap usaha pembangunan.
Beliau berkata, kestabilan politik juga kekal penting bagi masa depan Sabah kerana ia meningkatkan keyakinan pelabur, menggalakkan pelaburan asing dan domestik, mewujudkan peluang pekerjaan serta menarik bakat dan kepakaran yang diperlukan untuk mengembangkan ekonomi negeri.
Tatkala Jalur Gemilang dan bendera Sabah dikibarkan, Tun Musa berkata, rakyat perlu mengingati bahawa kebebasan dan hak menentukan masa depan sendiri bukan sekadar lembaran penting dalam sejarah, malah membawa tanggungjawab besar.
“Kita bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara, memelihara keamanan, memperkukuh perpaduan serta memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah Sabah dan Malaysia yang lebih kukuh, lebih makmur dan lebih harmoni daripada apa yang kita nikmati pada hari ini,” katanya.
Beliau turut memberikan penghormatan setinggi-tingginya kepada para pahlawan negara yang mengorbankan nyawa demi mempertahankan tanah air serta semua pihak yang berjuang dan berkorban demi kebebasan dan keamanan yang dinikmati hari ini.
Tun Musa turut merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota pasukan keselamatan negara yang terus berwaspada melindungi sempadan daripada sebarang pencerobohan serta mempertahankan keselamatan, keutuhan wilayah dan kedaulatan negara.
“Marilah kita menghargai segala yang kita miliki, menolak segala usaha yang mahu memecah-belahkan kita, dan terus berganding bahu tanpa mengira kaum, agama, budaya mahupun fahaman politik demi kemajuan Sabah dan kemakmuran Malaysia,” katanya.
Beliau menyeru rakyat supaya memperbaharui tekad dan komitmen kepada Sabah, Malaysia dan antara satu sama lain serta terus melangkah ke hadapan dengan keberanian, kebijaksanaan dan semangat perpaduan.
“Selamat Hari Kebangsaan dan Selamat Hari Sabah,” katanya.




























