Gambar hiasan
TAWAU (Bernama): Bagi rakyat Sabah, lembaran kemerdekaan turut diterjemahkan menerusi lonjakan pembangunan yang memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat seiring dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM) “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.
Antara perubahan paling ketara ialah pembangunan infrastruktur perhubungan yang semakin inklusif, khususnya di kawasan Pantai Timur negeri itu yang suatu ketika dahulu agak ketinggalan berbanding Pantai Barat.
Penduduk Felda Umas Kalabakan Nazrini Badarun, 40, berkata pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bukan sahaja memendekkan masa perjalanan dan mengurangkan risiko kemalangan, malah menterjemahkan erti kemerdekaan sebenar apabila rakyat dapat menikmati perhubungan darat lebih baik.
“Kemudahan jalan raya yang lebih luas, selesa dan moden itu menjadi manifestasi nyata usaha kerajaan untuk memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan setaraf dengan Semenanjung Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Nazrini berkata pembangunan pengangkutan, bekalan tenaga dan sistem telekomunikasi antara tunjang utama dalam memantapkan kemajuan sesebuah negara merdeka bagi meningkatkan ekonomi rakyat.
Sementara itu, pemandu lori ayam Husin Amita, 55, yang berpengalaman selama 20 tahun menghantar bekalan dari Tawau ke Kota Kinabalu melihat banyak perubahan positif pada laluan darat di negeri itu.
“Laluan tempat pemeriksaan Tawau yang dahulunya sempit, rosak, berlubang dan gelap kini dinaik taraf kepada empat lorong dua hala menerusi Projek Lebuh Raya Pan Borneo,” katanya.
Di Lahad Datu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Silam Datuk Mizma Appedullah berkata kemerdekaan dalam konteks pembangunan masa kini menuntut komitmen berterusan bagi merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.
Beliau mengakui pembangunan infrastruktur di daerah itu bergerak ke arah yang lebih baik, namun masih terdapat kawasan yang menghadapi masalah kestabilan bekalan air, elektrik serta liputan komunikasi.
Rakyat di Lahad Datu, menurut beliau bukan sahaja memerlukan jalan raya utama yang baik, tetapi juga jalan penghubung ke kampung, sistem saliran, lampu jalan dan laluan pejalan kaki yang selamat.
Pandangan sama turut disuarakan pemimpin tempatan di Tungku Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan yang berharap pembangunan infrastruktur di Pantai Timur Sabah terus diberi tumpuan utama.
“Ia penting kerana pembangunan fizikal bertindak sebagai pemangkin utama untuk membuka pintu ekonomi yang lebih luas serta mengangkat taraf hidup masyarakat tempatan,” katanya.
Abdul Hakim berkata pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Lahad Datu juga memendekkan masa perjalanan ke Sandakan mahupun ke Kota Kinabalu dengan ketara.
Beliau menambah kecekapan jaringan jalan raya itu juga membantu meningkatkan pendapatan peniaga kecil seperti kedai makan dan gerai buah di sepanjang laluan berkenaan.
Peniaga buah berhampiran tempat pemeriksaan Sandakan Sapri Abdullah, 50, berkata keadaan lalu lintas di kawasan persimpangan bertingkat kini lebih lancar tanpa kesesakan teruk.
Beliau berharap kerajaan terus memberikan tumpuan kepada kemudahan asas seperti air, elektrik dan komunikasi untuk kesejahteraan rakyat. — BERNAMA


























