Awang Kadin (tengah), bersama wakil Sabah Electricity dan peserta Sesi Libat Urus Sabah Electricity bersama UPPM bagi kawasan Parlimen Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang di The Gem Hotel, Beaufort.
BEAUFORT: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah dan Sabah Electricity memperkukuh kerjasama strategik bagi meningkatkan penyampaian maklumat serta penyelarasan maklum balas dan aduan masyarakat berkaitan bekalan elektrik.
Pengarah UPPM Sabah Datuk Awang Kadin Tang berkata kerjasama itu penting bagi memastikan isu yang dibangkitkan masyarakat dapat disampaikan kepada pihak berkaitan untuk perhatian dan tindakan lanjut.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Sabah Electricity bersama UPPM bagi kawasan Parlimen Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang di The Gem Hotel, di sini, semalam.
Katanya, sesi berkenaan menyediakan ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi maklumat, menyelaras tindakan dan meningkatkan kefahaman mengenai isu yang melibatkan kepentingan rakyat.
“Bekalan elektrik yang stabil penting bukan sahaja untuk kegunaan isi rumah, malah turut menyokong aktiviti ekonomi, pendidikan, perniagaan serta pembangunan komuniti,” katanya.
Awang Kadin berkata UPPM berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, termasuk mendapatkan maklum balas masyarakat, mengenal pasti isu di peringkat akar umbi dan menyalurkan aduan kepada pihak berkaitan untuk perhatian serta tindakan lanjut.
Sesi libat urus itu turut menjadi platform perkongsian maklumat mengenai status bekalan elektrik, pembangunan infrastruktur, perkhidmatan pengguna, keselamatan elektrik dan kecekapan tenaga.
Program berkenaan merupakan kesinambungan sesi libat urus yang diadakan di Sandakan pada 23 Mei lalu, selain merangkumi sesi taklimat dan dialog bagi memperkukuh komunikasi dua hala antara Sabah Electricity dengan UPPM.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar turut hadir pada program berkenaan.
Penyertaan melibatkan Pemimpin Pembangunan Masyarakat, wakil UPPM dan pemimpin komuniti daripada sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang.
Awang Kadin berharap sesi itu menjadi asas kepada kerjasama berterusan antara Sabah Electricity dengan UPPM dalam menangani isu bekalan elektrik yang dihadapi masyarakat.
“Kerjasama yang kukuh perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat. Saya berharap maklumat yang diperoleh hari ini dapat membantu kakitangan UPPM melaksanakan tugas dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya terus berkongsi maklumat dan menyelaras tindakan secara konsisten bagi menangani isu di peringkat akar umbi serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap penyampaian perkhidmatan.
































