Jafry bersama Pembantu Menteri Dr Andi Md Shamsureezal dan ahli Lembaga Kebudayaan Sabah (LKNS) ketika melawat tapak cadangan pembangunan di Wisma Budaya, Kota Kinabalu, semalam.
KOTA KINABALU: Projek Pusat Seni Persembahan Kota Kinabalu (KKPAC) bakal dimulakan, sekali gus menjadi langkah penting dalam memperkukuh infrastruktur kebudayaan Sabah serta menyediakan lebih banyak peluang untuk pembangunan seni persembahan di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata projek yang akan dibangunkan di tapak Wisma Budaya di sini itu mencerminkan komitmen kementerian untuk menyediakan platform moden dan mampan bagi aktiviti kebudayaan, pembangunan seni dan penglibatan masyarakat.
“KKPAC akan menjadi hab penting bagi seni persembahan dan program kebudayaan, menyediakan ruang khusus untuk mencungkil bakat tempatan, mempromosikan warisan budaya Sabah yang kaya serta menyokong pertumbuhan industri kreatif,” katanya ketika taklimat projek di sini, semalam.
Pusat itu akan dilengkapi auditorium persembahan, teater black box, studio tarian, dewan latihan serta kemudahan seni persembahan lain yang direka untuk menampung pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesenian.
Jafry berkata kemudahan berkenaan dijangka menarik lebih banyak konsert dan persembahan yang menampilkan bakat tempatan, selain menyediakan ruang khusus kepada generasi muda untuk berlatih, meneroka kreativiti dan membuat persembahan.
Beliau berkata pembangunan itu turut membuka peluang kepada Lembaga Kebudayaan Sabah (LKNS) untuk memperkukuh operasinya serta menjana pendapatan mampan melalui program kebudayaan, penganjuran acara dan penyewaan kemudahan.
Sementara itu, cadangan pembinaan bangunan pejabat pentadbiran Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) serta semua badan berkanunnya di tapak sama kini berada di peringkat akhir perancangan, dengan tempoh siap yang diunjurkan selama 30 bulan.
Bangunan itu akan menempatkan pejabat kementerian serta badan berkanunnya, iaitu Taman-Taman Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah dan Lembaga Kebudayaan Sabah, di bawah satu bumbung bagi mempertingkatkan kecekapan operasi dan penyelarasan antara agensi.
Pembangunan yang dicadangkan itu, dengan pembiayaan dirancang melalui Taman-Taman Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah, bertujuan meningkatkan kecekapan pentadbiran, memperkukuh penyelarasan antara agensi serta menyediakan persekitaran kerja yang lebih bersepadu.
Jafry berkata LKNS ketika ini beroperasi di premis sewaan di Wisma Perindustrian, Likas, sekali gus menekankan kepentingan perancangan infrastruktur jangka panjang bagi memperkukuh keupayaan institusi berkenaan.
“Pembangunan ini sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk memaksimumkan nilai aset kerajaan, memperkukuh kecekapan pentadbiran dan memastikan institusi kebudayaan kita dilengkapi kemudahan yang mampu memenuhi keperluan masa depan.
“Keutamaan kita adalah untuk memberikan manfaat jangka panjang bukan sahaja kepada KePKAS dan agensinya, tetapi juga kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kepentingan LKNS akan terus menjadi pertimbangan penting ketika kedua-dua projek berkenaan dilaksanakan.
Jafry yakin kerjasama berterusan antara agensi KePKAS dan pihak berkepentingan akan memastikan pelaksanaan projek strategik itu berjalan dengan jayanya.
































