TONGOD: Sabah Electricity Sdn Bhd digesa menambah jumlah generator set (genset) bergerak di tiga sekolah menengah berasrama di Tongod susulan kerosakan dua transformer utama di daerah itu sejak minggu lalu.
ADUN Kuamut Datuk Masiung Banah berkata bekalan elektrik perlu disalurkan segera ke lokasi kritikal membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod, SMK Penangah dan SMK Entilibon bagi memastikan pelajar asrama tidak terus berada dalam kegelapan pada waktu malam.
Katanya, pelajar terpaksa menggunakan lilin untuk mengulang kaji pelajaran berikutan ketiadaan bekalan elektrik, sedangkan mereka bakal menghadapi peperiksaan semester akhir minggu depan.
Beliau berkata keadaan itu amat membimbangkan memandangkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan menduduki peperiksaan yang bermula 26 November depan.
“Saya mendapat aduan daripada guru dan ibu bapa bahawa pelajar terpaksa mengulang kaji pelajaran menggunakan cahaya lilin di asrama dan di rumah sejak minggu lalu kerana ketiadaan bekalan elektrik.
“Saya menggesa pengurusan Sabah Electricity menambah bilangan genset bergerak di tiga sekolah terbabit sebagai bantuan kepada calon SPM dan STPM untuk belajar serta mengulang kaji pelajaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Masiung berkata walaupun empat unit genset bergerak berkapasiti 2,000kW telah digerakkan sebagai sokongan sementara di Tongod, jumlah tenaga yang dibekalkan masih tidak mencukupi sehingga menjejaskan operasi pendidikan di ketiga-tiga sekolah berkenaan.
Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh pejabat Sabah Electricity di Telupid bahawa transformer 11/33kW yang membekalkan tenaga elektrik ke daerah Tongod mengalami kerosakan sejak minggu lalu.
Kelmarin, beliau menghubungi pejabat Sabah Electricity di Telupid untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung masalah itu dan berharap syarikat berkenaan dapat menggerakkan genset tambahan ke tiga sekolah terbabit sementara kerja pembaikan transformer utama dilaksanakan.
Sementara itu, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Tokyo Hasim Omar berkata bekalan elektrik di daerah itu kerap terputus sejak bulan lalu sehingga mengganggu urusan pentadbiran beberapa jabatan kerajaan.
Beliau tidak menolak kemungkinan transformer yang membekalkan tenaga elektrik ke daerah Tongod sudah berusia dan tidak lagi mampu menampung keperluan semasa berikutan peningkatan jumlah pengguna setiap tahun.
Tokyo menggesa Sabah Electricity menggantikan transformer berkenaan dengan unit baharu berkapasiti lebih besar, memandangkan jumlah bangunan kerajaan dan rumah persendirian di daerah itu semakin bertambah.






























