Chan semasa menghadiri ke Taklimat BUDI MADANI yang diadakan oleh Kementerian Kewangan di Bangunan Parlimen pada Selasa lalu.
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menyambut baik pengumuman Kerajaan MADANI berhubung pelaksanaan BUDI MADANI Diesel yang bakal menurunkan harga diesel bersubsidi di seluruh negara kepada RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad mulai 1 Julai 2026.
Ketua Penerangan PH Sabah, Datuk Chan Foong Hin berkata, secara prinsipnya PH Sabah menyokong usaha reformasi subsidi menerusi pendekatan yang lebih bersasar, telus dan mampu mengurangkan ketirisan.
“Usaha ini berupaya memastikan bantuan kerajaan dapat dinikmati rakyat yang benar-benar layak. Penjimatan subsidi juga perlu dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk bantuan bersasar, perlindungan kos sara hidup dan penambahbaikan perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chan berkata, kejayaan pelaksanaan dasar itu tidak boleh hanya diukur melalui penyeragaman sistem, tetapi mesti dinilai berdasarkan kesan sebenar terhadap kehidupan rakyat Sabah dan bagaimana ia dapat diselaraskan untuk meringankan cabaran sara hidup masyarakat di negeri itu.
Beliau berkata, rakyat Sabah amat bergantung kepada pengangkutan darat jarak jauh, logistik antara daerah, penggunaan kenderaan diesel persendirian, bot sungai serta penggunaan genset di kawasan pedalaman.
Sehubungan itu, PH Sabah turut menghargai penglibatan aktif Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali, yang juga Ahli Parlimen Papar, dalam menerajui sesi penerangan pelaksanaan dasar berkenaan.
“Sebagai wakil rakyat dari Sabah yang memahami realiti ekonomi dan geografi yang berbeza daripada Semenanjung, peranan beliau penting bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar mengimbangi pertimbangan fiskal dan turut melindungi kepentingan pengguna serta kestabilan harga di Sabah,” katanya.
Bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar, PH Sabah menggesa beberapa perkara diberi perhatian serius.
Pertama, peluasan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang diterajui KPDN mesti dipantau rapi supaya tiada gangguan bekalan atau kelewatan proses pendaftaran yang boleh menjejaskan pengguna dan peniaga.
Kedua, mekanisme tambahan kuota bagi pengguna diesel di kawasan luar bandar dan pedalaman perlu dilaksanakan secara fleksibel dan mesra rakyat memandangkan corak penggunaan di Sabah berbeza serta melibatkan perjalanan yang lebih jauh.
Ketiga, KPDN bersama agensi berkaitan perlu memperhebat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menggunakan perubahan mekanisme subsidi ini sebagai alasan menaikkan harga barang atau caj pengangkutan secara tidak munasabah.
“Rakyat mesti merasai manfaat reformasi ini, bukannya menanggung kesan rantaian harga,” katanya.
Keempat, saluran bantuan dan aduan perlu diperkukuhkan termasuk di kawasan luar bandar agar rakyat tidak berdepan kesukaran mengakses sistem baharu.
Dalam masa yang sama, PH Sabah menyambut baik keputusan mengekalkan subsidi bagi sektor strategik seperti nelayan, petani kecil dan pengangkutan awam, selain peluasan akses kepada pengusaha bot sungai dan pengguna genset di kawasan pedalaman.
“Reformasi subsidi bukan sekadar soal penjimatan fiskal. Ia mesti menjadi instrumen untuk membina sistem yang lebih adil, mengurangkan ketirisan dan pada masa yang sama menjaga kebajikan rakyat, khususnya rakyat Sabah yang mempunyai keperluan dan cabaran tersendiri,” katanya.
PH Sabah akan terus memainkan peranan konstruktif bersama Kerajaan MADANI bagi memastikan pelaksanaan dasar itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat tanpa meninggalkan sesiapa di belakang.






























