PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membuka ruang untuk permohonan tuntutan bayaran balik tunai diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) mulai 1 Julai 2026 bagi syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang masih belum menerima fleet card.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah itu diambil bagi memastikan syarikat yang layak di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan terus menikmati manfaat subsidi diesel walaupun masih menunggu pengeluaran dan penghantaran fleet card oleh syarikat minyak.
“Kerajaan mengambil maklum bahawa proses pengeluaran dan penghantaran fleet card oleh syarikat minyak lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada proses semakan dan pengurusan dalaman syarikat minyak masing-masing.
“Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju membuka ruang untuk permohonan tuntutan bayaran balik tunai diesel di bawah SKDS mulai 1 Julai 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Armizan berkata, penggunaan fleet card di bawah SKDS akan berkuat kuasa selaras dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di seluruh negara bermula 1 Julai ini.
Menurutnya, kewajipan penggunaan fleet card melibatkan sektor pengangkutan darat awam dan sektor pengangkutan darat barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan WP Labuan.
Melalui mekanisme itu, kedua-dua sektor berkenaan akan terus menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.88 seliter bagi pengangkutan darat awam dan RM2.15 seliter bagi pengangkutan darat barangan.
Armizan berkata, pendaftaran SKDS bagi sektor pengangkutan darat awam di Sabah, Sarawak dan WP Labuan telah dibuka sejak 10 Jun 2024, manakala peluasan kepada sektor pengangkutan darat barangan bermula pada 4 Mei 2026.
Sehingga 22 Jun 2026, sebanyak 8,445 syarikat melibatkan 30,557 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS, dengan Sabah merekodkan 4,062 syarikat dan 14,750 kenderaan, Sarawak 4,108 syarikat serta 15,030 kenderaan, manakala WP Labuan mencatatkan 275 syarikat melibatkan 777 kenderaan.
Beliau menjelaskan pendaftaran SKDS melibatkan dua proses iaitu permohonan melalui portal MySubsidi yang akan menerima surat kelulusan secara serta-merta jika memenuhi syarat, diikuti permohonan fleet card daripada syarikat minyak pilihan menggunakan surat kelulusan tersebut.
Katanya, kemudahan tuntutan bayaran balik tunai itu membolehkan syarikat yang layak menuntut perbezaan harga diesel yang dibeli pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga diesel bersubsidi SKDS yang sepatutnya dinikmati.
Menurut Armizan, syarikat yang ingin membuat tuntutan perlu membuktikan mereka telah mendaftar di bawah SKDS dan memohon fleet card sebelum atau pada 30 Jun 2026.
“Tuntutan ini meliputi pembelian diesel bermula 1 Julai 2026 sehingga 31 Julai 2026 atau sehingga tarikh fleet card diterima oleh syarikat pengangkutan, yang mana lebih awal.
“Semua tuntutan bayaran balik tunai wajib disokong dengan bukti resit pembelian diesel dan dimuat naik melalui portal MySubsidi,” katanya.
Beliau berkata, pembayaran balik tunai akan dikreditkan ke akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai dilakukan oleh pentadbir SKDS di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Armizan turut menggesa semua syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan WP Labuan supaya segera mendaftar di bawah SKDS serta mengemukakan permohonan fleet card.
“Pendaftaran yang dibuat lebih awal akan membantu mempercepatkan proses pengeluaran fleet card sekali gus memastikan syarikat dapat terus menikmati diesel bersubsidi,” katanya.
































