KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan (SK) Tamu Darat muncul juara Kejohanan Sukan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Zon Selatan Kota Belud Kali Ke-49 yang berlangsung di Kompleks Sukan Kota Belud, hari ini.
Tempat kedua dimenangi Sekolah Rendah Agama (SRA) Gaur manakala SK Taginambur menduduki tempat ketiga keseluruhan kejohanan.
Majlis penutupan kejohanan dan hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick
MSS Zon Selatan kali ini disertai 18 sekolah rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian dengan penganjuran dihoskan oleh SK Tuguson.
Kejohanan itu turut menyaksikan empat rekod baharu berjaya dicipta sepanjang temasya berlangsung.
Dalam ucapannya, Ewon merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua kontinjen, jawatankuasa penganjur, sukarelawan serta jabatan kerajaan yang terlibat dalam menjayakan kejohanan berkenaan.
Beliau turut menghargai sumbangan daripada Cement Industries Sabah yang menyalurkan RM30,000 menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi membantu menjayakan kejohanan tersebut.
































