Rodiahtul Ardawiyah
KOTA KINABALU: Pertubuhan Jaringan Pemimpin Profesional (PRIDE) menggesa mahasiswa agar mengutamakan pendekatan diplomasi dan berhemah dalam menangani isu melibatkan komuniti, tanpa mengabaikan sensitiviti masyarakat tempatan.
Jurucakap PRIDE, Rodiahtul Ardawiyah berkata, latar belakang akademik tidak wajar dijadikan alasan untuk bertindak secara konfrontasi.
“Sebagai jaringan alumni UMS yang pernah aktif dalam kepimpinan mahasiswa dan kini berkhidmat dalam pelbagai sektor profesional, kami menegaskan bahawa latar belakang akademik tidak wajar dijadikan alasan untuk bertindak secara konfrontasi tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Sabah mempunyai struktur adat yang dihormati seperti Ketua Kampung, Ketua Anak Negeri dan Mahkamah Anak Negeri yang memainkan peranan penting dalam menjaga keharmonian serta menyelesaikan pertikaian berkaitan tanah dan komuniti.
Beliau berkata, mahasiswa perlu proaktif memperjuangkan isu rakyat, namun tidak boleh mengetepikan sentimen penduduk setempat, nilai budaya serta tanggungjawab menjaga nama baik institusi.
“Mahasiswa harus menjadi jambatan penyelesaian melalui pendekatan diplomasi, fakta dan perbincangan berhemah, bukannya tindakan yang boleh mencetuskan persepsi negatif atau ketegangan di lapangan,” katanya.
Dalam pada itu, Rodiahtul turut mengiktiraf idealisme anak muda, namun menegaskan ia perlu dipandu dengan adab, disiplin ilmu dan kefahaman terhadap realiti masyarakat setempat.
PRIDE dalam kenyataan sama turut menyeru semua pihak agar tidak memperbesarkan isu sehingga mencetuskan polarisasi atau kebencian, sebaliknya pertikaian perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang, pentadbiran tanah dan mekanisme adat yang sah.
“Ilmu tanpa adab melahirkan keangkuhan, manakala kepimpinan tanpa hikmah hanya mencetuskan perpecahan,” katanya.
































