TUARAN: Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) terus memperluas promosi produk Ikan Rakyat Sabah menerusi penyertaannya dalam Karnival Usahawan Desa (KUD) 2026 yang berlangsung di Padang Istiadat, Pekan Tuaran.
Penyertaan SAFMA menerusi promosi “FISH-FISH Harga Runtuh” mendapat sambutan daripada pengunjung yang berpeluang membeli pelbagai hasil perikanan berkualiti pada harga berpatutan.
Majlis perasmian penutupan karnival berkenaan pada 28 November disempurnakan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar.
Turut hadir Pengurus Besar SAFMA Burhan Japar, bersama pasukan SAFMA yang terlibat dalam menjayakan aktiviti promosi, pameran dan jualan produk Ikan Rakyat Sabah sepanjang karnival berkenaan.
Penyertaan SAFMA dalam karnival itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk mendekatkan produk perikanan tempatan kepada masyarakat, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Selain menawarkan produk perikanan pada harga mampu milik, SAFMA turut memanfaatkan platform berkenaan untuk memperkenalkan peluang keusahawanan menerusi Program Rakan Niaga Ikan Rakyat Sabah.
Inisiatif itu berpotensi membuka peluang menjana pendapatan kepada usahawan tempatan, khususnya masyarakat luar bandar, di samping memperluas rangkaian pemasaran dan pengedaran hasil perikanan di seluruh Sabah.
Penyertaan tersebut turut mencerminkan komitmen SAFMA dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negeri, memperkukuh industri perikanan tempatan serta merancakkan ekonomi masyarakat.
SAFMA turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan semua pengunjung yang memberikan sokongan sepanjang berlangsungnya karnival berkenaan.






























