WHO meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 di seluruh dunia bagi mengawal penularan wabak tersebut.
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kebal dan sukar untuk dikenakan tindakan undang-undang memandangkan Malaysia perlu mematuhi badan antarabangsa tersebut selaku anggota.
Menurut Utusan Malaysia, pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, tindakan menyaman sukar kerana WHO merupakan organisasi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kata beliau, untuk menyaman kerajaan Malaysia berhubung pengambilan vaksin Covid-19 adalah merupakan hak individu selagi mempunyai fakta untuk dibawa dalam perbicaraan kelak sekiranya diterima mahkamah.
Namun, jelasnya, lapan individu termasuk tiga waris memfailkan saman itu tidak boleh menyaman WHO di mahkamah Malaysia kerana ia merupakan sebuah badan yang berdaftar di negara ini.
“WHO merupakan badan yang Malaysia menjadi anggota di dalamnya dan negara harus taat. Badan antarabangsa itu kebal (memandangkan) ia adalah organisasi di bawah PBB.
“Melainkan Malaysia mahu menarik diri daripada menjadi anggota WHO dan PBB, tetapi ini tidak akan berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, terdapat pihak yang memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM60 juta daripada 25 defendan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua bekas Perdana Menteri dan WHO.
Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman, Tetuan Mohamad Zainuddin & Co pada 23 Oktober lalu. Sesalinan dokumen terbabit diperoleh media semalam.
Selain Anwar, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut dina makan sebagai defendan ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkey Ahmad dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Datuk Seri Dr. Adham Baba, bekas Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Pengeluar vaksin, Pfizer Inc.,Pfizer Malaysia Sdn. Bhd. dan Sinovac Biotech Ltd. turut di namakan sebagai defendan.
Dalam pada itu, Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengakui pihak (yang menyaman) tersebut berdepan jalan yang sukar.
Jelasnya, hak individu dijamin di bawah undang-undang Malaysia sekiranya merasakan mereka perlu diberi pampasan oleh kerajaan.
“Isu yang akan terjadi di mahkamah nanti adalah nak buktikan kebersalahan atau liabiliti dalam undang-undang sivil. Sama ada mereka dapat ke tahap menunjukkan bukti kukuh bahawa apa yang mereka mengadu itu memang tanggungjawab dan kesalahan dibuat oleh kerajaan serta WHO maka barulah mahkamah boleh bagi penghakiman,” jelasnya.
Beliau berkata, sekiranya plaintif mendapat penghakiman di Malaysia dan ingin meneruskan saman terhadap WHO maka mereka perlu mencari negara yang mempunyai aset organisasi tersebut.
“Kalau ada aset WHO di Malaysia maka kita boleh melaksanakan penghakiman di dalam negara ini tetapi sekiranya organisasi tersebut tidak mempunyai aset di sini seperti bangunan dan sebagainya maka plaintif itu perlu cari negara terdekat yang mempunyai aset WHO lalu mendaftarkan penghakiman di negara berkenaan.
“Tetapi sekarang mereka tidak sampai kepada tahap itu, kena buktikkan dan mendapatkan keberjayaan di sini dahulu, kebiasannya akan memakan masa,” katanya.
Tambahnya, kerajaan dan WHO mungkin akan membuat permohonan untuk cuba membatalkan tindakan tanpa perbicaraan.