Chua Soon Ping
KOTA KINABALU: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) menyambut baik dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Sabah atas pengumuman dasar perumahan Bumiputera baharu yang akan berkuat kuasa esok (1 Disember).
Presidennya, Datuk Sr Chua Soon Ping, menyifatkan dasar ini sebagai langkah bersejarah dan progresif yang membuka peluang baharu kepada pembeli rumah Bumiputera untuk melibatkan diri secara aktif dalam pasaran hartanah, sekaligus memberikan mereka peluang untuk melabur demi masa depan mereka.
“Kami amat gembira melihat kejayaan merealisasikan salah satu cadangan utama yang telah SHAREDA perjuangkan selama dua tahun ini. Keputusan untuk memansuhkan sekatan penjualan semula dan membenarkan pembeli Bumiputera menjual rumah mereka pada bila-bila masa tanpa tempoh pegangan adalah langkah besar dalam memperkasakan pemilik hartanah. Perubahan ini akan meningkatkan kecairan pasaran hartanah dengan ketara, memberi pembeli Bumiputera lebih fleksibiliti serta peluang untuk memanfaatkan potensi penuh pelaburan hartanah mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Chua turut berkata bahawa SHAREDA berbangga kerana Sabah menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan dasar transformasi seperti ini.
Beliau menyatakan bahawa langkah perintis ini menjadi teladan berharga untuk diikuti negeri-negeri lain, memperlihatkan komitmen Sabah dalam mewujudkan pasaran hartanah yang lebih inklusif dan dinamik untuk semua.
“Masa pengumuman dasar ini amat bermakna dengan pelancaran program Sabah-Malaysia My Second Home (S-MM2H) tahun hadapan.
“Kebebasan untuk pembeli Bumiputera menjual rumah mereka akan membolehkan mereka memanfaatkan sepenuhnya keuntungan hartanah, sekali gus meningkatkan daya tarikan pasaran kepada pelabur tempatan dan asing. Ini secara tidak langsung akan menjana lebih banyak aliran modal ke dalam negeri, merangsang ekonomi dan menggalakkan pertumbuhan industri berkaitan.”
Chua menambah, dasar ini dijangka merangsang peningkatan transaksi hartanah, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor hartanah tetapi turut memberi kesan positif kepada industri lain.
“Dengan lebih banyak pelaburan mengalir ke Sabah, sektor seperti pelancongan, hospitaliti, runcit, dan F&B akan mengalami peningkatan permintaan. Kafe, restoran, hotel dan perniagaan lain akan menerima lebih banyak pelanggan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi merentas pelbagai sektor.
“Aspek penting lain dalam dasar ini adalah potensinya untuk meningkatkan akses pemilikan rumah bagi pembeli Bumiputera, yang kini mempunyai lebih banyak pilihan dan fleksibiliti dalam memilih rumah yang sesuai dengan keperluan peribadi dan kemampuan kewangan mereka. Langkah ini dapat membantu mengurangkan cabaran yang dihadapi oleh pembeli rumah Bumiputera, terutamanya di kawasan bandar, dengan menyediakan peluang yang lebih baik untuk pemilikan hartanah jangka panjang.”
Penambahbaikan kepada kuota Bumiputera sebanyak 30 peratus, yang memastikan pelaksanaannya meliputi semua hartanah kediaman – sama ada hartanah bertanah atau bertingkat – turut memastikan pembeli Bumiputera mempunyai lebih banyak pilihan dan kawalan terhadap pelaburan hartanah mereka.
Chua menyatakan bahawa dengan pemansuhan lot rumah khas untuk pembeli Bumiputera, dasar ini memberikan fleksibiliti kepada pembeli rumah untuk memilih hartanah yang paling sesuai dengan keutamaan dan keperluan mereka.
“Perubahan signifikan dalam dasar baharu ini ialah, bermula 1 Disember, pembeli Bumiputera boleh memohon terus kepada Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) untuk menghapuskan sekatan Bumiputera pada hartanah mereka, tanpa perlu merujuk kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP). Langkah ini memudahkan proses dan meningkatkan kemudahan transaksi hartanah bagi pembeli Bumiputera. Namun, adalah penting untuk dinyatakan bahawa dasar ini tidak akan menjejaskan hakmilik tanah adat yang sedia ada, memastikan hak undang-undang pemilik tanah adat tetap terpelihara.”
Chua berkata, SHAREDA sepenuhnya menyokong perubahan ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan kejayaan inisiatif ini.
“Kami percaya dasar baharu ini akan memberikan kuasa yang besar kepada pembeli Bumiputera, merangsang aktiviti pasaran hartanah, dan mendorong pertumbuhan ekonomi yang lebih luas untuk Sabah.”