Julita (tiga dari kiri) menyampaikan insentif kepada Charlotte.
MATUNGGONG: Seramai 108 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari kawasan Matunggong menerima insentif sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik mereka dalam satu majlis di Dewan Mini Urusetia Daerah Kecil Matunggong, kelmarin.
Penerima terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinawantai Kudat, SMK Sikuati dan SMK Sikuati II, selain lapan pelajar dari Matunggong yang menuntut di luar daerah.
Insentif yang diberikan adalah antara RM500 bagi pencapaian 5A hingga RM1,000 untuk pelajar yang memperoleh 10A.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki yang juga ADUN Matunggong berkata, program yang diperkenalkan sejak 2019 itu mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong pelajar, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, pencapaian pelajar Matunggong menunjukkan peningkatan konsisten sepanjang tujuh tahun pelaksanaan program tersebut.
“Sepanjang tempoh itu, jumlah pelajar cemerlang tidak pernah menurun, malah semakin ramai mencapai keputusan 7A, 8A hingga 10A.
“Ini membuktikan sokongan berterusan mampu menghasilkan kemajuan sebenar,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Julita berkata, kejayaan selepas alam persekolahan banyak bergantung kepada pilihan yang dibuat oleh pelajar.
“Masa depan ditentukan oleh pilihan harian. Pilih untuk hidup dengan tujuan, utamakan disiplin berbanding motivasi, dan bina sahsiah berbanding mengambil jalan mudah,” katanya.
Berdasarkan pencapaian sekolah, SMK Pinawantai merekodkan 11 pelajar memperoleh 5A, tujuh pelajar 6A, lima pelajar 7A, dua pelajar 8A dan empat pelajar 9A.
SMK Sikuati pula mencatatkan 18 pelajar memperoleh 5A, 12 pelajar 6A dan tiga pelajar 7A, manakala SMK Sikuati II merekodkan 16 pelajar 5A, lima pelajar 6A, lima pelajar 7A, seorang pelajar 8A dan empat pelajar 9A.
Selain itu, dua pelajar dari luar daerah berjaya memperoleh keputusan cemerlang 10A.
Sementara itu, pelajar SMK Pinawantai, Clariryan Fadrer Janius yang memperoleh 9A berkata, disiplin dan konsistensi menjadi kunci kejayaannya.
“Saya berasa sangat gembira dan bangga. Disiplin, konsistensi serta fokus adalah kunci untuk mencapai keputusan yang baik,” katanya.
Charlotte Ivenne Lomius dari SMK Sikuati II yang memperoleh 8A berkata, beliau kekal fokus walaupun berdepan cabaran sebagai pelajar asrama.
“Saya memastikan sentiasa fokus semasa pembelajaran dan memahami sepenuhnya apa yang diajar walaupun berdepan kekangan,” katanya.
Ruth Nathalie Juining dari SMK Sikuati yang memperoleh 7A berkata, ibu bapanya yang juga guru menjadi sumber inspirasi utama.
“Ibu bapa memberi dorongan untuk berjaya dan saya berharap dapat menjadi guru seperti mereka,” katanya.
Program insentif itu bertujuan mengiktiraf pencapaian pelajar serta menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran dan menyumbang kepada masyarakat.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Tinah Maralin; Pemimpin Pembangunan Masyarakat Matunggong, Epson Kawahui; Setiausaha Politik kepada Menteri KWKKR, Marius Masain; Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Matunggong, Datuk Barlus Mangabis; Pengetua SMK Sikuati II, Tengku Shuhaiza Tengku Abu Bakar; serta guru pengiring SMK Sikuati, Juining Jiun.
































