PUTRAJAYA: Permohonan pendaftaran bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dibuka bermula 4 Mei ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan hari inj berkata, peluasan pelaksanaan penyaluran subsidi diesel itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkemas penyasaran subsidi bahan api.
Menurutnya, fasa awal peluasan tersebut melibatkan permohonan pendaftaran bagi syarikat-syarikat dalam sektor pengangkutan darat barangan di ketiga-tiga wilayah bermula jam 9 pagi, 4 Mei 2026.
“Kenderaan yang didaftarkan di bawah SKDS oleh syarikat pengangkutan darat barangan yang berkelayakan boleh menikmati subsidi diesel tertakluk kepada kadar ditetapkan kerajaan,” katanya.
KPDN berkata, kadar harga subsidi semasa bagi SKDS sektor pengangkutan darat barangan adalah RM2.15 seliter.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal MySubsidi di mysubsidi.kpdn.gov.my.
Menurut kementerian itu, antara syarat kelayakan ialah kenderaan mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah dan aktif, serta berdaftar sebagai kenderaan perdagangan dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah atau Sarawak.
Selain itu, syarikat, perniagaan, koperasi atau entiti perdagangan perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Kenderaan juga perlu tersenarai dalam 23 kategori kenderaan darat barangan yang diluluskan di bawah SKDS,” katanya.
KPDN berkata, bagi melancarkan proses pendaftaran, semua syarikat dan entiti perniagaan diminta menyemak kelayakan kenderaan serta memastikan kategori pendaftaran dipilih dengan tepat.
Tiga kategori pendaftaran disediakan iaitu kategori syarikat bagi kenderaan berdaftar di bawah SSM, kategori koperasi atau PBT, serta kategori pemilikan tunggal bagi kenderaan berdaftar menggunakan nombor MyKad individu.
Menurut kenyataan itu, pembelian diesel bersubsidi bagi sektor berkenaan akan dilaksanakan menggunakan kaedah fleet card.
“Syarikat yang diluluskan di bawah SKDS perlu memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan dengan mengemukakan surat kelulusan serta senarai kenderaan daripada sistem SKDS,” katanya.
Tambahnya, syarikat dibenarkan memilih sehingga tiga syarikat minyak untuk permohonan fleet card.
Tempoh pemprosesan dan penghantaran fleet card dianggarkan antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada syarikat minyak yang dipilih.
KPDN turut menjelaskan bahawa tempoh sah laku surat kelulusan SKDS bergantung kepada tempoh sah LKM atau cukai jalan kenderaan.
“Sehubungan itu, LKM perlu dikemas kini sebelum 28 hari bulan setiap bulan dan tarikh tamatnya hendaklah melangkaui bulan berikutnya bagi memastikan kelayakan menerima subsidi berterusan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi pusat panggilan KPDN negeri masing-masing atau merujuk portal MySubsidi.
KPDN menyeru semua syarikat dan entiti perniagaan dalam sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang layak agar memohon kemudahan subsidi tersebut.
“KPDN komited memastikan dasar penyasaran subsidi dilaksanakan secara seimbang, inklusif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negara,” katanya.
































