Hendrus Anding
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah merangka beberapa strategi bagi memastikan bekalan makanan di Sabah kekal mencukupi dan tidak terjejas sekiranya harga bahan api terus meningkat.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Hendrus Anding berkata, antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Program Kebun Dapur yang bermula tahun ini.
Beliau berkata, inisiatif itu menjurus kepada pengeluaran makanan secara lestari merangkumi tanaman, perikanan dan ternakan menggunakan ruang di kawasan kediaman seperti halaman rumah, kawasan lapang serta bekas terpakai.
“Inisiatif ini turut menekankan penggunaan teknologi pertanian moden bagi meningkatkan pengeluaran hasil seperti sayur-sayuran, herba, penternakan kecil dan perikanan air tawar berskala isi rumah.
“Selain menampung keperluan makanan keluarga, hasil kebun dapur ini juga boleh dipasarkan untuk menjana pendapatan tambahan kepada kumpulan sasar,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kelmarin.
Beliau menjawab pertanyaan Nurulalsah Hassan Alban (Sungai Sibuga) mengenai langkah Kerajaan Negeri dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan, khususnya di kawasan tersebut.
Hendrus menggalakkan orang ramai menyertai inisiatif tersebut dengan memanfaatkan ruang di kediaman masing-masing.
Menurutnya, Jabatan Pertanian Sabah telah melaksanakan lima projek pembangunan tanaman makanan melibatkan keluasan lima hektar, termasuk kelapa pandan, durian Musang King, mangga Harumanis dan cili.
Selain itu, katanya, tiga petani telah menerima geran di bawah Program Pembangunan Usahawan dan Industri Makanan berjumlah RM65,980 dengan nilai jualan terkumpul mencecah RM280,000 pada tahun 2025.
Dalam sektor perikanan, beliau berkata, beberapa program telah dirancang bagi meningkatkan pengeluaran makanan, termasuk Program Keterjaminan Makanan melalui penghasilan akuakultur marin dan air tawar.
“Turut dirancang ialah Program Pengukuhan Pengusaha Akuakultur dan Nelayan Setempat, pemerkasaan industri pembenihan akuakultur marin serta bantuan kepada penternak skala kecil dan pengeluar benih ikan air tawar.
“Kerajaan juga akan melaksanakan program bantuan kepada pengusaha spesies bernilai tinggi, inisiatif ekonomi biru perikanan, pengukuhan produk hiliran serta transformasi sosioekonomi nelayan B40,” katanya.
Hendrus berkata, melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, kerajaan turut memperkukuh rantaian bekalan, pembangunan makanan ternakan tempatan serta menyediakan bantuan dan khidmat teknikal kepada penternak.
“Langkah ini penting bagi membantu penternak menghadapi peningkatan kos operasi, termasuk melalui insentif, latihan kecekapan ladang, penyelidikan teknologi ternakan serta mengurangkan kebergantungan kepada input import,” katanya.
Beliau menegaskan pelbagai inisiatif akan terus dilaksanakan bagi memastikan Sabah tidak terlalu bergantung kepada bekalan luar yang mudah terjejas akibat kenaikan kos bahan api dan logistik.

































