Maijol Mahap
KOTA KINABALU: Cadangan pembangunan Tungku Commercial Centre di Lahad Datu tidak dapat diteruskan seperti dirancang selepas perjanjian usahasama antara Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dan Menara Gading Sdn. Bhd. (MGSB) ditamatkan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Maijol Mahap berkata, projek pembangunan bercampur itu pada asalnya merupakan usahasama antara kedua-dua pihak melalui perjanjian yang ditandatangani pada 11 Oktober 2021.
Beliau berkata, pembangunan projek berkenaan telah diluluskan pada 19 Jun 2024.
“Bagaimanapun, pelaksanaan projek ini telah tertangguh disebabkan isu berkaitan beberapa terma dalam Perjanjian Usahasama yang gagal dipenuhi oleh pihak MGSB dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.
Beliau menjawab pertanyaan Assaffal @ Samsul Kamal P. Alian (Tungku) mengenai status cadangan pembangunan Tungku Commercial Centre yang melibatkan kerjasama antara LPPB dan MGSB.
Maijol berkata, bagi mengelakkan kelewatan berterusan, LPPB telah membuat keputusan untuk menamatkan perjanjian tersebut pada 11 September 2024.
“Susulan itu, pihak MGSB telah memohon penangguhan dan tambahan masa untuk menyelesaikan isu berkenaan. Namun, walaupun penangguhan diberikan, pihak MGSB masih gagal mencapai penyelesaian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, LPPB telah menguatkuasakan penamatan Perjanjian Usahasama tersebut melalui surat bertarikh 18 Februari 2025.
Dalam perkembangan sama, Dr. Joachim berkata, LPPB kini sedang berusaha mencari atau menjemput pemaju lain yang berminat dan layak untuk melaksanakan projek berkenaan di Tungku.
































