Jordan Jude Ellron
KOTA KINABALU: Status pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pohon Batu dan SK Nangkawangan yang terletak di daerah Nabawan kekal di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keningau buat masa ini.
Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Datuk Jordan Jude Ellron berkata, perkara itu adalah berdasarkan susunan pentadbiran sedia ada yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin. Beliau menjawab pertanyaan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) yang ingin mengetahui status sebenar kedua-dua sekolah berkenaan serta cadangan memindahkan pentadbiran ke PPD Pensiangan, Nabawan.
“Walaupun kedua-dua sekolah ini terletak dalam kawasan daerah Nabawan (Pensiangan), penempatan pentadbiran di bawah PPD Keningau dibuat berdasarkan penyelarasan operasi dan logistik yang telah ditetapkan sebelum ini oleh pihak KPM,” kata Jude.
Menurutnya, sebarang cadangan untuk memindahkan pentadbiran ke PPD Pensiangan boleh dikemukakan oleh pihak berkaitan untuk pertimbangan lanjut.
“Yang Berhormat Nabawan boleh memohon kepada pihak PPD Pensiangan dan pihak PPD akan memanjangkan perkara ini kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Jude turut menjelaskan isu berkaitan kemudahan di SMK Nabawan 2.
Katanya, hasil pemantauan mendapati tiada kerosakan tandas seperti yang didakwa sebelum ini.
“Pemantauan hari ini mendapati bahawa tidak terdapat sebarang kerosakan pada tandas seperti yang didakwa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, permohonan bagi pembinaan kuarters guru di sekolah berkenaan telah dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
“Permohonan tersebut kini dalam proses kelulusan,” katanya.
































