Dr. Joachim bersama rombongan meninjau tapak kebakaran yang memusnahkan deretan kedai pada 1 Mei lalu.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam melawat Kampung Timbua bagi meninjau keadaan mangsa kebakaran yang memusnahkan deretan kedai di kampung berkenaan.
ADUN Kundasang itu menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap keluarga terlibat serta menyampaikan kata-kata semangat agar mereka terus tabah menghadapi ujian.
Beliau turut bertanya khabar dan mendapatkan maklumat mengenai keperluan segera mangsa bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat disalurkan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat, khususnya dalam situasi kecemasan, dan akan berusaha membantu meringankan beban mangsa.
“Kerajaan akan melihat keperluan mendesak mangsa dan memastikan bantuan dapat disampaikan secepat mungkin,” katanya.
Kehadiran Dr. Joachim ke lokasi itu mencerminkan komitmen berterusan untuk mendekati rakyat serta memahami situasi sebenar di peringkat akar umbi.
Pada pertengahan April lalu, beliau turut menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri di Mini Dewan Timbua, kampung yang sama.
Katanya, lawatan itu diharap dapat memberi sedikit kelegaan dan semangat baharu kepada mangsa selain memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Sementara itu, rombongan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang yang diketuai Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kundasang, Dounis Sany, bersama Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Kundasang, sebelum ini turut turun padang melawat mangsa dan menyampaikan sumbangan.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang Jumaat lalu, satu barisan premis kedai runcit separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran melibatkan kawasan lebih 1,200 meter persegi.
Kejadian itu menyebabkan peniaga dan penduduk kehilangan sumber pendapatan serta harta benda dalam sekelip mata.
































