Joniston (dua kanan) menghadiri perasmian sambutan Kaamatan anjuran KDCA Melaka.
MELAKA: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Semenanjung Malaysia digesa membantu usaha agresif Sabah melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dalam mempromosikan pelancongan domestik, khususnya susulan ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pendekatan itu penting dengan memanfaatkan keunikan budaya dan tradisi sebagai tarikan utama negeri ini.
“Dalam situasi ini, kita perlu memperkukuh pelancongan domestik dengan mengetengahkan kekuatan Sabah yang berasaskan kepelbagaian budaya, tradisi serta warisan kulinari,” katanya ketika merasmikan sambutan Kaamatan anjuran KDCA Melaka, di sini, kelmarin.
Joniston berkata, Sabah mempunyai kelebihan tersendiri untuk menarik pelancong dari seluruh negara, termasuk kepelbagaian etnik, keindahan alam semula jadi serta pengalaman budaya yang autentik.
Katanya, STB akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk komuniti budaya bagi memastikan sektor pelancongan negeri kekal berdaya tahan dan kompetitif.
Joniston turut memaklumkan bahawa Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan telah merakamkan klip video khas bagi mempromosikan Pesta Kaamatan ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, usaha itu selari dengan inisiatif memperkenalkan Kaamatan sebagai perayaan budaya unik kepada masyarakat global.
Sehubungan itu, beliau menyeru tujuh cawangan KDCA di Semenanjung termasuk Putrajaya, Lembah Klang, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan untuk memainkan peranan sebagai duta kecil dalam memperluaskan promosi Sabah.
“Jaringan komuniti ini boleh membantu memperluaskan capaian promosi dan menarik lebih ramai pelancong domestik ke Sabah,” katanya.
Menurutnya, tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, selari dengan usaha merapatkan hubungan antara komuniti pelbagai kaum melalui platform budaya.
Beliau menggalakkan KDCA di Semenanjung untuk memperluaskan jemputan kepada masyarakat setempat daripada pelbagai latar belakang bagi menyertai sambutan Kaamatan.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja memperkenalkan budaya Sabah dengan lebih meluas, tetapi turut memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian.
Beliau turut menyeru masyarakat Sabah di perantauan agar terus menyokong serta menghadiri acara kebudayaan anjuran komuniti lain sebagai tanda hormat dan semangat kebersamaan.
Turut hadir Ahli Jawatankuasa Kerja KDCA Pusat, Datuk Stanis Buandi; Pengerusi Majlis Wanita KDCA Pusat, Datuk Joanna Kitingan; Pengerusi KDCA Melaka, Scholastica Chin; serta Pengerusi KDCA Johor, Hendrick Utoi.
































