Jamawi membuat tinjauan pokok lada yang ditanam di Owan’s Farm.
PAPAR: Usaha memperkasa amalan pertanian berkualiti melalui pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) perlu diperluaskan bagi menjamin keselamatan makanan serta meningkatkan nilai hasil tempatan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kejayaan pengusaha tanaman fertigasi dan hidroponik, Owan’s Farm di Kampung Buang Sayang, di sini, yang memperoleh pensijilan MyGAP wajar dijadikan contoh oleh pengusaha lain.
Katanya, pensijilan tersebut membuktikan hasil pertanian yang dihasilkan mematuhi syarat ketat termasuk penggunaan bahan kimia secara minimum serta kaedah mesra alam.
“Ini bermaksud hasil daripada ladang ini mematuhi amalan pertanian yang baik, termasuk penggunaan racun kimia yang terkawal, lebih mesra alam dan selamat untuk dimakan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke ladang berkenaan, hari ini.

Jamawi (depan) mendengar taklimat mengenai tanaman hidroponik salad daripada Penyelia Owan’s Farm, Mohd Ikmal Zuhairi Ismadi.
Beliau berkata, pendekatan itu perlu diperluaskan dan dijadikan penanda aras kepada pengusaha lain di Sabah.
“Ini yang perlu kita kembangkan. Kita juga perlu mendidik masyarakat supaya memilih sumber makanan yang telah disahkan oleh Jabatan Pertanian atau kementerian,” katanya.
Menurutnya, langkah itu penting dalam membina kesedaran pengguna terhadap kepentingan kualiti dan keselamatan makanan.
“Ia merupakan proses berterusan untuk mendidik masyarakat agar lebih menghargai kualiti serta hasil pertanian premium,” katanya.
Jamawi berkata, kementeriannya akan terus menyokong usaha pengusaha tempatan termasuk dalam sektor hidroponik dan fertigasi.
“Saya bercadang untuk menghimpunkan lebih ramai penggiat serta pengusaha hidroponik dan fertigasi di Sabah bagi mengadakan sesi libat urus,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu mampu membantu memasarkan hasil pertanian pada harga yang lebih baik berbanding kaedah tradisional.

Jamawi (kanan) mendengar taklimat mengenai tanaman hidroponik salad daripada Mohd Ikmal Zuhairi.
Dalam pada itu, beliau berkata, aspek biosekuriti terus diperkukuh bagi melindungi industri pertanian tempatan.
“Kita telah memperketatkan penguatkuasaan biosekuriti, khususnya terhadap hasil pertanian yang diimport,” katanya.
Namun, beliau mengakui masih berlaku aktiviti penyeludupan produk pertanian yang menjejaskan pasaran tempatan.
“Terdapat lambakan hasil pertanian import pada harga murah yang memberi kesan kepada pendapatan petani tempatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan kerjasama lebih erat antara agensi penguat kuasa.
“Kita perlu bekerjasama dengan Kastam, agensi berkaitan, Pasukan Gerakan Am, Polis Marin serta pihak polis bagi membendung perkara ini,” katanya.
Jamawi berkata, usaha bersepadu itu penting bagi memastikan kualiti makanan terus terjamin di samping melindungi pendapatan petani tempatan di Sabah.
Turut hadir Pengerusi Owan’s Farm, Datuk Haji Awang Buhtaman Haji Awang Mahmun, Timbalan Setiausaha Tetap I MAFFI, Awang Dzulkernain Awang Hassan dan Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian, Jackson R. Jaimi.
































