Nizam merasmikan penutupan Kejohanan Tinju Seluruh Sabah Ke-72 Piala Mayor di Dewan Serbaguna Damai, di sini, hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian kepada pembangunan sukan tinju di Sabah termasuk mempertimbangkan peningkatan sokongan dan geran tahunan kepada Persatuan Tinju Negeri Sabah (PTNS) bagi memperluaskan aktiviti pembangunan sukan itu di seluruh negeri.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tinju merupakan antara sukan yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang pingat kepada Sabah, termasuk pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
“Pembangunan atlet, penganjuran kejohanan, latihan berterusan dan sokongan kepada persatuan perlu terus diperkukuh. Atas kegigihan dan komitmen Persatuan Tinju Negeri Sabah, pihak kementerian akan terus meneliti keperluan persatuan, termasuk mempertimbangkan peningkatan sokongan dan geran tahunan bagi membolehkan PTNS memperluas aktiviti pembangunan tinju di seluruh negeri,” katanya ketika merasmikan penutupan Kejohanan Tinju Seluruh Sabah Ke-72 Piala Mayor di Dewan Serbaguna Damai, di sini, hari ini.
Nizam berkata, Kejohanan Tinju Seluruh Sabah Piala Mayor merupakan antara kejohanan penting dalam kalendar sukan negeri kerana bukan sahaja menjadi medan pertandingan tahunan, malah platform mengenal pasti bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk persediaan menghadapi Piala Malaysia dan SUKMA 2026.
Menurutnya, sepanjang empat hari kejohanan berlangsung, para petinju telah mempamerkan semangat juang, disiplin dan ketahanan mental yang tinggi.
“Mereka bukan sahaja bertarung untuk mengejar kemenangan, tetapi juga membuktikan keberanian, ketahanan mental dan disiplin yang tinggi sebagai seorang atlet.
“Dalam sukan tinju, kekuatan fizikal sahaja tidak mencukupi. Yang lebih penting ialah keberanian hati, ketenangan fikiran, disiplin diri dan kemampuan untuk bangkit setiap kali diuji,” katanya.
Beliau berkata, nilai-nilai tersebut menjadikan tinju sebagai antara sukan yang mampu membentuk karakter dan jati diri golongan muda.
Pada masa sama, Nizam merakamkan penghargaan kepada Presiden PTNS, Datuk Orlando Harumal yang telah memimpin persatuan itu dengan penuh komitmen dan dedikasi sejak mula berkhidmat sebagai setiausaha pada 1971 sebelum menerajui persatuan sebagai presiden hingga kini.
Katanya, kepimpinan berwawasan seperti itu bukan sahaja membina persatuan tetapi turut membentuk legasi pembangunan sukan tinju di Sabah.
Beliau turut menghargai sokongan Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Shamsor Jaafar yang membantu menjayakan kejohanan menerusi penyediaan pasukan perubatan, pengadil, hakim dan sokongan logistik.
“Saya difahamkan pasukan 5 Divisyen sentiasa menghantar pasukan petinju setiap tahun dan pernah menjuarai Kejohanan Piala Presiden tahun lalu serta beberapa kali muncul juara Kejohanan Piala Mayor.
“Ini menunjukkan kerjasama antara persatuan sukan, agensi kerajaan dan pasukan keselamatan mampu memberikan impak besar kepada pembangunan sukan negeri,” katanya.
Nizam berkata, sebanyak 24 pasukan daripada persatuan tinju daerah, kelab dan gim mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini melibatkan 153 atlet, pengurus pasukan dan jurulatih.
Selain itu, seramai 24 pegawai, pengadil, hakim dan pembantu teknikal PTNS turut terlibat bagi memastikan kejohanan berjalan lancar.
“Jumlah penyertaan ini membuktikan bahawa sukan tinju di Sabah masih mempunyai akar yang kuat. Ia juga menunjukkan terdapat banyak bakat di peringkat daerah yang perlu terus dicungkil, dibimbing dan diberikan peluang untuk berkembang.
“Bakat besar tidak semestinya lahir dari tempat yang besar. Kadang-kadang, juara masa depan lahir dari daerah kecil, daripada gim sederhana, tetapi mempunyai semangat yang luar biasa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Persekutuan Tinju Malaysia, Datuk Mohammad Iruan Zulkefli atas sokongan berterusan terhadap pembangunan tinju Sabah termasuk penganjuran Piala Kebangsaan dan kursus kejurulatihan Tahap 1 pada 2024 dan 2025.
Menurutnya, sumbangan sebuah gelanggang baharu oleh Persekutuan Tinju Malaysia kepada PTNS juga akan membantu meningkatkan mutu latihan dan keyakinan atlet serta jurulatih untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
Nizam turut mengucapkan terima kasih kepada Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah atas sokongan berterusan dalam menjayakan kejohanan tersebut setiap tahun.
“Kita mahu sukan tinju Sabah bukan sahaja aktif di Kota Kinabalu, tetapi hidup dan berkembang di setiap daerah yang mempunyai bakat, minat dan potensi.
“Kita mahu lebih ramai anak muda Sabah bukan sahaja berani masuk gelanggang, tetapi berani mengejar impian, berani membina masa depan dan berani mengharumkan nama negeri,” katanya.
































