Zainab @ Halimah Ismail, 77, menguruskan keperluan suaminya, Che Noh Che Hassan, 79, yang terlantar menderita penyakit saraf di atas katil terapung, diikat menggunakan tiga tong drum besi untuk mudah diuruskan ahli keluarga semasa banjir, di Kampung Chapu, Hulu Terengganu, semalam.
PETALING JAYA: Jumlah mangsa terjejas akibat banjir yang melanda sembilan negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Melaka dan Johor kini mencecah 100,000 orang melibatkan hampir 30,000 keluarga.
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hampir 600 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negara.
Kelantan kekal merekodkan angka mangsa banjir tertinggi dengan 70,139 orang membabitkan 21,886 keluarga yang ditempatkan di 260 PPS di 10 daerah negeri berkenaan.
Antara daerah terjejas adalah Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Kuala Krai, Bachok, Pasir Puteh, Kota Bharu, Machang, Jeli dan Gua Musang.
Terengganu pula mencatatkan sejumlah 18,214 mangsa daripada 5,278 keluarga melibatkan lapan daerah yang kini ditempatkan di 251 PPS.
Selain itu, di Kedah, sejumlah 3,118 mangsa melibatkan 1,042 keluarga ditempatkan di 45 PPS melibatkan lima daerah terjejas iaitu Kubang Pasu, Sik, Pokok Sena, Padang Terap dan Kota Setar.
Negeri Sembilan mencatatkan sejumlah 2,023 mangsa daripada 551 keluarga terlibat yang kini ditempatkan di 21 PPS, manakala Perak mencatatkan 20 mangsa daripada tujuh keluarga di daerah Batang Padang dan Kerian di dua PPS.
Sementara itu, Perlis juga mencatatkan sejumlah 425 mangsa daripada 125 keluarga manakala Selangor mencatatkan 312 mangsa daripada 77 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di daerah Klang.
Melaka menjadi negeri terbaharu terjejas banjir melibatkan 105 orang daripada 28 keluarga yang ditempatkan di lima PPS.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor sehingga hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan cuti semua anggota Kabinet dalam kalangan Menteri dan Timbalan Menteri dibekukan susulan situasi banjir buruk yang berlaku ketika ini di enam negeri.
Perdana Menteri turut mengarahkan semua Jemaah Menteri untuk turun padang dan meneruskan tugas mengikut portfolio masing-masing dan membantu rakyat yang terkesan akibat bencana itu yang dijangka berlaku lebih teruk kali ini dalam tempoh 10 tahun.
“Semua Menteri minta terus tugas, (saya mengarahkan mereka) turun (turun padang).
“Ya, cuti (Menteri dan Timbalan Menteri) akan beku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama komuniti di Surau Pudina, Presint 17 dan makan tengah hari di Taman Warisan Pertanian, Putrajaya semalam.
Kelmarin, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan bersama enam kerajaan negeri yang terjejas akibat banjir akan memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terjamin sepanjang menghadapi Monsun Timur Laut ketika ini.
Sementara itu, di Kelantan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) boleh digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan sekiranya tempat perlindungan sedia ada sudah penuh.
“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana putuskan bagi kawasan yang PPS sudah penuh, kebenaran khas diberikan untuk membuka PPS baharu di MRSM.
“Ia termasuk MRSM di Tumpat. Setakat ini, di Kelantan PPS yang berdaftar adalah sebanyak 550 PPS,” katanya pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang.
Ahmad Zahid diiringi Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud turut dibawa meninjau keadaan paras air Sungai Kelantan di menara tinjau dan mendengar taklimat daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Dr. Siti Fairus Zakaria berkenaan situasi banjir di negeri itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Tentera Darat Malaysia menggerakkan hampir 4,000 anggota iaitu 190 pegawai dan 3,552 anggota secara keseluruhan, lengkap dengan alatan mobiliti darat dan peralatan sokongan lain menghadapi bencana banjir di negara ini.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, seramai 31 pegawai dan 350 anggota pula diatur bersama 17 trak satu tan, 16 trak tiga tan, dan 15 bot tempur diatur di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Katanya, Tentera Darat Malaysia (TDM) di bawah kepemimpinannya (PTD) bertindak sebagai peneraju Ops Murni bagi menghadapi bencana banjir.
“Prinsip ‘the first onsite’ telah diterapkan, iaitu sejak awal Oktober, perintah awalan dikeluarkan untuk mengenal pasti kawasan hotspot dan memastikan formasi bersiap sedia.
“Tentera Darat turut bergabung dengan beberapa agensi lain untuk menyokong Nafma dalam usaha membantu mangsa banjir,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Sjn Mohd Nor Khalid di Kuala Lumpur semalam.